PENDUDUK TUNTUT WANG UNTUK SERAHKAN BUAYA



New Delhi: Penduduk di sebuah kampung di Uttar Pradesh, India menuntut sejumlah wang jika mahu seekor buaya dikembalikan kepada pihak berkuasa tempatan.

Ia selepas penduduk kampung berkenaan berjaya menangkap buaya itu.Mereka juga enggan menyerahkan buaya itu jika tuntutan itu tidak dipenuhi.

India Times memetik kenyataan sumber rasmi melaporkan buaya sepanjang dua meter itu ditemui penduduk kampung selepas banjir pada Selasa lalu.



Penduduk kampung kemudiannya melaporkan perkara itu kepada Jabatan Perhutanan.

Bagaimanapun, kakitangan jabatan lewat tiba di kampung itu menyebabkan penduduk bertindak menangkap haiwan berkenaan. Kakitangan terbabit dilaporkan hanya tiba selepas reptilia itu berjaya ditangkap.

Media melaporkan penduduk kemudiannya mahu pihak berkuasa membayar wang, jika mahu buaya diberikan kepada kakitangan jabatan.



Pegawai bertugas Anil Patel memberitahu AFP bahawa penduduk terbabit menuntut 50,000 rupee (kira-kira RM2,826), jika mahu buaya itu dikembalikan.

“Saya mengambil masa selama beberapa jam untuk berunding dengan penduduk kampung dan dibantu polis serta pihak berkuasa tempatan.

“Saya beritahu mereka akan berdepan hukuman tujuh tahun penjara jika terus berdegil.



“Akhirnya, mereka bersetuju untuk menyerahkan buaya berkenaan dan haiwan itu dibebaskan ke habitat semula jadi di Sungai Ghagra pada hari sama,” katanya.

Menurut rekod, terdapat tiga spesies buaya sering ditemui di India iaitu buaya air tawar, buaya kawasan paya dan buaya air masin.

Minggu lalu, dua buaya dilaporkan tersesat ke kawasan perumahan di Vadodara, Gujarat.

Bagaimanapun, dalam kedua-dua kejadian, reptilia itu berjaya ditangkap.

HMETRO



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: