SUAMI LACUR ISTERI



Kuala Lumpur: Seorang lelaki layak digelar suami durjana apabila tergamak melacurkan isteri sendiri sejak setahun lalu dengan mengenakan bayaran RM300 kepada pelanggan setiap kali melakukan perbuatan terkutuk itu.

Suspek berusia 42 tahun yang juga menjadi bapa ayam kepada isterinya, 36, itu menggunakan WhatsApp untuk mencari pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan sahaja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, bertindak atas maklumat dan risikan berhubung kegiatan pelacuran dalam talian itu, Cawangan Siasatan Jenayah Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menahan pasangan suami isteri itu di sebuah residensi di Jalan Galloway, Bukit Bintang, di sini, semalam.



Menurutnya, serbuan dilakukan jam 11.15 malam itu turut merampas dua telefon bimbit dan dua kondom.

“Siasatan awal mendapati suspek pertama adalah suami kepada wanita terbabit dan sudah menjalankan kegiatan ini sejak setahun lalu dengan bayaran RM300 di sekitar pusat bandaraya mengikut permintaan pelanggan.

“Pelanggan mereka pula hanya terdiri warga tempatan yang dicari melalui WhatsApp,” katanya kepada Harian Metro.



Nik Ros Azhan berkata, semakan juga mendapati lelaki itu memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala isterinya juga mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan akta sama.

“Mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan,” katanya.

hmetro





Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: