ANWAR SUKAR UNTUK JADI PM- PENGANALISIS

Seorang penganalisis politik menyuarakan keraguan terhadap dakwaan terbaru Presiden PKR Anwar Ibrahim bahawa beliau mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat yang akan membuka jalan kepada pemimpin itu menjadi perdana menteri.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) memberitahu FMT bahawa beliau percaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan memohon untuk membubarkan Parlimen jika Anwar berjaya membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Tiada jaminan kemenangan bagi pembangkang hari ini sekiranya pilihan raya baru diadakan, katanya.

Semalam, Anwar, yang merupakan ketua pembangkang di Parlimen, mengumumkan bahawa beliau mendapat sokongan mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baru.

Beliau juga berkata, Yang di-Pertuan Agong telah menerimanya untuk menghadap tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Sultan Abdullah menerima rawatan di Institut Jantung Negara pada Isnin.

Kamarul Zaman Yusoff.

Kamarul berkata, Anwar tidak perlu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan Muhyiddin kerana terdapat duluan yang menyaksikan Agong menemui semua ahli Parlimeni bagi menentukan sokongan masing-masing semasa berlakunya krisis politik pada Februari.

Bagaimanapun beliau meragui bahawa Anwar mendapat sokongan mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.

“Kita tidak tahu sama ada Anwar mempunyai sokongan itu. Adakah Dr Mahathir Mohamad dan kumpulannya menyokong Anwar?

“Berdasarkan respons Mahathir terhadap pengumuman Anwar, beliau sinis.”

Laporan semalam memetik Mahathir berkata, beliau akan “tunggu dan lihat” jika Anwar mendapat sokongan mencukupi.

Beliau juga berkata, ini bukan kali pertama Anwar membuat dakwaan sedemikian.

Kamarul berkata, Mahathir juga berpengaruh ke atas ahli Parlimen, termasuk dari PPBM yang mungkin tidak akan menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Beliau berkata, Anwar sebaiknya mendedahkan senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnnya selepas mengemukakan nama itu kepada Agong.

“Kredibiliti Anwar akan rosak teruk jika gagal menjadi PM kerana beliau beberapa kali mendakwa mempunyai sokongan, tetapi gagal membuktikannya.” Katanya.

Pakar sains politik Chandra Muzaffar juga berkata, dakwaan Anwar perlu dibuktikan.

“Beliau perlu buktikan, tunjukkan nama ahli Parlimen yang menyokongnya.

Chandra Muzaffar.

“Jika beliau gagal berbuat demikian, maka tiada sebab kita perlu memberi perhatian kepada dakwaannya kerana pada 2008 beliau mendakwa ahli Parlimen BN akan mengubah sokongan pada Hari Malaysia, tetapi ia tidak berlaku.”

Chandra berkata, “beliau percaya Anwar mendapat isyarat bahawa pemimpin tertentu dalam Umno akan menyokong beliau dan angka itu sudah mencukupi untuk mendapat minoriti mudah di Dewan Rakyat.

“Kita perlu adakan pilihan raya dan saya percaya ia akan berlaku,” katanya.

“Jika kerajaan bertukar tangan tanpa pilihan raya, maka akan wujud ketidaktentuan.

“Elit politik terus merancang permainan “kerusi beracun”. Anda akan saksikan ahli Parlimen terus beralih sokongan kerana ramai mereka terbukti merupakan pelompat parti”.

FMT

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker