Godam akaun media sosial, menyamar kenalan untuk pinjam duit

Oleh – Syeikh Baran


Godam akaun media sosial, menyamar kenalan untuk pinjam duit
FOTO HIASAN

Sebanyak 494 kes dilaporkan di seluruh negara berkaitan penipuan penyamaran sebagai kenalan di media sosial dengan kerugian RM238,732 bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mengesan modus operandi digunakan sindiket penipuan menyamar sebagai rakan atau kenalan di media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Telegram.

“Berdasarkan siasatan, sindiket itu didapati menggodam akaun media sosial milik mangsa dan menghubungi rakan mereka (mangsa) untuk meminjam wang.

“Pemilik akaun media sosial berkenaan hanya menyedari akaun mereka digodam apabila ia tidak dapat diakses atau menerima panggilan daripada kenalan yang bertanyakan mengenai kesahihan pinjaman wang itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya terhadap mesej pinjaman wang diterima daripada rakan atau kenalan terutama akaun bank digunakan adalah milik orang lain.

“Apa pun alasan mereka, lakukan semakan dengan menghubungi kenalan itu bagi mengesahkan perkara berkenaan.

“Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan sebarang pertanyaan kepada CCID (JSJK) Infoline di talian 013-2111222,” katanya.

Sumber – Harian Metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker