BERAT DUGAAN RELA DITANGGUNG
Seremban: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu suasana sukar yang terpaksa dihadapi Syarifudean Drawuh bagi menjaga isteri yang kehilangan tangan kanan dan kaki kanan selepas dipotong akibat kemalangan jalan raya, tahun lalu.
Syarifudean, 42, yang tinggal di rumah sewa di Taman Desa Indah Nilai, dekat sini, berkata, kejadian berkenaan berlaku pada 23 April tahun lalu ketika isteri Noramalina Arifin, 34, dalam perjalanan ke tempat kerja di Nilai.
“Kemalangan itu berlaku jam 10 pagi di Kilometer 278.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran susur masuk Nilai.
“Ketika itu, isteri menunggang motosikal dari rumah kawan di Port Dickson ke tempat kerja di sebuah syarikat di Nilai.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, motosikal hilang kawalan dan isteri terjatuh serta diseret kenderaan itu menyebabkan kecederaan teruk di badan, tulang kaki kanan dan tulang tengkuk, patah,” katanya.
Syarifudean berkata, akibat nahas, isterinya koma enam hari di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban dan menerima rawatan sehingga lebih tiga bulan sebelum dibenar keluar wad pada 5 Julai tahun lalu.
Menurutnya, sepanjang itu, tangan kanan sehingga ke paras lengan dipotong kerana jangkitan kuman.
Katanya, pada 3 September lalu, Noramalina dirujuk sekali lagi ke HTJ selepas kaki kanan isterinya itu berlaku jangkitan kuman.
NORAMALINA bersama Syarifudean.
“Pada 11 September lalu, doktor HTJ memotong kaki kanan sehingga ke paras paha isteri akibat masalah saraf yang menjejaskan pengaliran darah.
“Buat masa ini, isteri masih menerima rawatan lanjut di hospital,” katanya.
Syarifudean yang berasal dari Gemas Negeri Sembilan manakala isteri dari Sepang Selangor berkata, sebelum kemalangan itu, dia bekerja di sebuah pasar raya di Teluk Panglima Garang, Selangor.
Dia yang belum mempunyai cahaya mata berkata, disebabkan terpaksa mengambil cuti tanpa gaji dalam tempoh lama kerana menjaga isteri, pengurusan pasar raya itu menamatkan perkhidmatannya pertengahan Mei 2019.
Beliau berkata, hampir sembilan bulan dia menganggur sebelum mendapat kerja di stesen minyak di pekan Nilai mulai Februari lalu dengan gaji RM1,200 sebulan.
Katanya, pendapatan bulanan yang ada habis digunakan bagi membeli ubat isteri dan kos harian yang berkaitan.
Mereka yang bersimpati boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam 05058023969373 atas nama Noramalina Arifin atau maklumat lanjut hubungi Syarifudean di talian 013-2992524.
Hmetro