Nasi Lemak Dan Sambal Tumis Azie Kitchen Yang Sedap

 

Sambal Tumis Ikan Bilis Azie Kitchen Yang Sedap

 

Memasak sambal tumis yang sedap tidaklah susah tetapi perlu tahu teknik menyediakan sambal yang betul. Saya belajar memasak dari keluarga, dari kawan kawan dari masa ke semasa. Saya masih ingat tips yang saya pelajari untuk menghasilkan sambal yang berwarna merah cantik dan berkilat dari arwah Kak Ena, ketika saya baru bekerja. Bayangkan telah lebih 30 tahun. Untuk menghasilkan masakan yang sedap memerlukan latihan dan latihan. Tidak cukup sekadar menpunyai pengetahuan semata. Sejak itu, saya memang mengamalkannya. Kemudian saya belajar pula dari sepupu saya cikgu Wan Faizah setelah merasai sambal tumis ikan bilis beliau yang sangat sedap. Lama lama, saya mengubahsuai bahan bahan mengikut citarasa sendiri sehingga akhirnya menjadi sambal yang dimasak secara rutin.

Nasi lemak yang sedap bergantung kepada sambalnya. Sambal yang disediakan hari itu, memang tidak mencukupi kerana masing masing menambah nambah. Nelly yang kebetulan ada di rumah bertanya kalau Sambal Tumis Ikan Bilis yang disediakan Nana hari itu menggunakan resepi Azie Kitchen. Katanya lagi, “Adik hanya suka sambal tumis menggunakan resepi Mama jer”. Hahaha seronok mendengar anak anak suka dengan masakan kita kan. Saya jarang meletak belacan kerana anak anak allegik dengan belacan. Tapi lebih sedap jika ditambah belacan.

Menyentuh sedikit mengenai nasi lemak pula. Banyak cara menyediakan nasi lemak semua bergantung kepada citarasa masing masing. Namun saya sentiasa cuba mencari cara cara baru untuk memperbaiki hasil masakan nasi lemak saya. Boleh rujuk entri berkenaan rahsia menyediakan nasi lemak sedap dan tahan lama di SINI.

Sambal Tumis Ikan Bilis Azie Kitchen Yang Sedap

Ini saya belajar dari Kak Fatimah. Kak Fatimah selalu menyediakan nasi lemak kalau ada majlis makan makan di surau Ad Dhuha. Kata beliau, orang berniaga tak akan guna santan yang banyak untuk memasak nasi lemak, jadi santan diletak di akhir sekali. Lagi pulak, santan bila dimasak lama akan bertukar menjadi minyak. Kita mahukan nasi yang berlemak bukan nasi berminyak. Selain itu, masukkan halia juga di akhir. Itulah petua yang dikongsi dan memang sangat harum. Malahan setiap kali periuk dibuka, terbau wangi dan harum nasi lemak satu dapur.

Jom layan resepi sambal tumis versi Azie Kitchen. Saya sekarang bila menyediakan sambal tumis, memang ikut angin. Kalau rasa nak letak halia, saya letak. Di kebanyakan masa, saya tak letak terutama bila tiada stok.
Sambal Tumis Ikan Bilis Azie Kitchen Yang Sedap

Sambal Tumis Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 mangkuk ikan bilis
1 biji bawang besar – hiris
2-3 sudu besar gula pasir
Sedikit gula merah/gula Melaka
Garam
Air asam jawa/asam keping
Bahan kisar:
1/2 mangkuk cili kisar/20 tangkai cili kering – direbus dan ditos
2 biji bawang besar – boleh juga guna bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia – opsyenal
Sebesar ibu jari belacan bakar – opsyenal
Cara cara:
Panaskan minyak yang banyak, tumis bawang besar hiris sehingga naik bau sahaja. Masukkan bahan kisar dan kacau rata. Perlahankan api dan terus dikacau dengan api perlahan sehingga cili benar benar masak dan terbit minyak. Ianya memakan masa agak lama. Jika minyak kurang, bolehlah ditambah ketika menumis. Macam mana nak tahu kalau ianya telah garing? Minyak tumisan akan mula berbuih sedikit. Itu tanda dah garing.
Setelah bahan tumisan garing, masukkan sedikit gula terlebih dahulu dan kacau rata. Gula akan menjadikan warna sambal cantik dan berkilat.
Masukkan sedikit air mengikut kepekatan sambal yang disukai. Masukkan air asam jawa/asam keping, garam dan ikan bilis. Nota: warna sambal lebih cantik jika menggunakan asam keping.
Kacau rata sehingga sambal masak dan mesra.
Nota:
Sambal lebih sedap jika disediakan sehari sebelumnya.
Ikan bilis boleh digoreng sehingga layu, jika suka.
Nasi Lemak Sedap Dan Tahan Lama
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan;
Beras – basuh dan tos
1-2 helai daun pandan – carik dan simpul
Sedikit garam
1 – 2 inci halia – hiris kasar
1 cawan santan pekat/1 kotak santan kotak
Cara cara:
Masak nasi dengan air secukupnya, iaitu bergantung kepada jenis beras masing masing. Biasanya paras air dalam kurang 1 inci atau satu paras garisan di jari.
Masukkan garam dan juga daun pandan yang dicarik. Mesti dicarik bagi menambah aroma daun pandan. Masukkan dalam rice cooker dan masak seperti biasa.
Bila mendidih dan air hampir kering, masukkan hirisan halia dan santan pekat tadi. Kacau rata. Sambung masak sehingga nasi masak sepenuhnya. Siap untuk dihidangkan.
https://www.aziekitchen.com/2017/02/nasi-lemak-dan-sambal-tumis-azie.html

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker