GRS KUASAI 9 DARIPADA 13 KERUSI

Kuala Lumpur: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menguasai sembilan daripada 13 kerusi baharu yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah yang berlangsung semalam.

Kejayaan itu menyaksikan lima kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN), tiga kerusi dimiliki Perikatan Nasional (PN) dan satu kerusi diperoleh Parti Bersatu Sabah (PBS), sementara empat kerusi lain adalah milik Warisan Plus iaitu di Dun Darau, Limbahau, Segama dan Kukusan.

Pengerusi BN Sabah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin memenangi Dun Lamag dengan majoriti 661 selepas mendapat 3,035 undi, sekali gus mengalahkan empat calon lain iaitu daripada Warisan, Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan Bebas.

Bagi Dun Bengkoka, Harun Durabi daripada BN yang berdepan 10 calon lain menang dengan majoriti 1,337 selepas mendapat 2,538 undi menewaskan calon Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), PBS, Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), PCS, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan empat calon Bebas.

Calon BN Jasnih Daya pula memenangi Dun Pantai Dalit dengan majoriti 3,794 setelah mendapat 6,868 undi sekali gus menewaskan tujuh calon lain daripada Warisan, PCS, Parti Liberal Demokratik (LDP), USNO, Gagasan dan dua calon Bebas.

BN turut memenangi Dun Tanjung Keramat melalui calonnya Shahelmey Yahya yang memperoleh majoriti 1,124 selepas mendapat 4,594 undi, menewaskan empat calon lain daripada Warisan, PCS, LDP dan USNO.

Dun Sungai Manila juga dimenangi BN melalui Mokran Ingkat yang mendapat majoriti 1,417 apabila memperoleh 4,585 undi, menewaskan lima calon lain daripada Warisan, PCS, USNO, LDP dan PPRS.

Sementara itu keputusan bagi Dun Pintasan agak mengejutkan apabila calon PN Fairuz Renddan menang dengan majoriti tipis iaitu 84 undi sekali gus menewaskan nama besar iaitu bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia daripada USNO yang mendapat 2,660 undi.

Fairuz yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sabah mendapat 2,744 undi turut menewaskan empat calon lain daripada Warisan, PCS, PPRS dan Bebas.

PN turut memenangi DUN Bandau melalui Datuk Wetrom Bahanda yang mendapat 5,863 undi dengan majoriti 3,363, sekali gus menewaskan calon Warisan, USNO, PCS, LDP dan Bebas.

Seorang lagi calon PN Flovia Ng memenangi Dun Tulid dengan majoriti 544, menewaskan enam calon lain iaitu daripada BN, Warisan, PBS, PCS, USNO dan LDP.

PBS bernasib baik mendapat satu kerusi di Dun baharu iaitu Telupid melalui Jonnybone J Kurum yang memperoleh 685 undi menumpaskan empat calon lain iaitu daripada UPKO, BN, PCS dan LDP.

Empat kerusi yang dimenangi Warisan pula adalah di Dun Darau (Azhar Matussin – majoriti 562); Dun Limbahau (Juil Nuatim – majoriti 2,523); DUN Segama (Datuk Mohamaddin Ketapi – majoriti 2,168) dan DUN Kukusan (Rina Jainal – majoriti 10).

Dewan Rakyat sebelum ini meluluskan Kajian Semula Persempadanan Bagi Bahagian-Bahagian PRN Sabah yang membabitkan pindaan komposisi keahlian Dun Sabah daripada 60 kerusi kepada 73 kerusi.

Hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker