BELI RM15, UNTUNG RM400

Kulim: Seorang wanita menjadikan rumahnya di Lorong Perak 2, di sini sebagai lokasi membotolkan semula arak disyaki tiruan untuk mengaut keuntungan sejak dua bulan lalu.

Bagaimanapun, perbuatan wanita yang juga suri rumah berusia 53 tahun itu terbongkar apabila rumahnya diserbu polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, serbuan dilakukan pada 12.30 tengah hari oleh sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kulim Hi-Tech berdasarkan maklumat awam yang diterima.



Beliau berkata, hasil pemerhatian hampir 15 minit, anggotanya mendapati terdapat beberapa lelaki berada di pagar rumah wanita berkenaan untuk membeli arak daripada wanita itu.

“Kita menghantar anggota untuk melakukan penyamaran sebagai pelanggan dan mendapati wanita itu memberi arak kepada anggota terbabit.

“Berikutan itu, anggota kami terus melakukan serbuan di rumah berkenaan dan merampas wang tunai bernilai RM6 yang digenggam wanita itu dan menahannya untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, anggotanya turut merampas sebotol minuman yang disyaki mengandungi 180 mililiter (ml) cecair arak daripada wanita itu.



Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dalam rumah berkenaan menemui dua botol plastik serta empat kotak berisi botol kosong dan beberapa botol berisi cecair disyaki arak yang memabukkan dan diletakkan di atas lantai dalam bilik rumah terbabit.

“Berikutan itu anggota kami merampas beberapa botol yang mengandungi arak yang ditemui dalam rumah itu untuk membantu siasatan.

“Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menjual arak yang disyaki tiruan yang dituang semula dalam botol kosong lalu menjualnya secara sembunyi di rumah untuk mengelak dari dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Azhar berkata, berdasarkan siasatan, hanya pelanggan tertentu yang tahu mengenai kegiatan suspek dan menjadi tumpuan kaki mabuk kerana harga arak yang dijualnya jauh lebih murah.



“Kita bimbang arak tiruan ini akan mendatangkan kemudaratan sekiranya dicampur dengan bahan lain yang mengakibatkan kematian,” katanya.

Azhar berkata, berikutan itu, arak berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek menjalankan kegiatan itu sejak dua bulan lalu dengan membeli arak pada harga RM15 sebotol besar dan mampu memperoleh keuntungan lumayan sehingga RM400 sekiranya dimasukkan ke dalam botol kecil.

“Suspek dipercayai menjual arak berkenaan pada harga RM6 sebotol namun keaslian arak itu diragui.



“Siasatan awal mendapati suspek mengaku membeli arak dalam kuantiti botol besar 10 liter dari seorang individu di kawasan Pulau Pinang,” katanya.

Azhar berkata, berikutan itu, suspek ditahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 Peraturan-Peraturan Eksais (membotolkan dan Memindahkan Liquor yang Memabukkan 1977).

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati, suspek tidak mempunyai lesen dari Lembaga Perlesenan Arak untuk menjual minuman itu

“Suspek akan direman hari ini untuk membantu siasatan,” katanya.



Hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button