Lima suspek buli direman

 

Lima suspek yang dipercayai membuli seorang pelajar sehingga cedera di rusuk kiri di sebuah sekolah di daerah ini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga 18 Disember 2021 terhadap kelima-lima suspek yang berusia 16 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Analia Kamaruddin.

Kelima-lima suspek berkenaan ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, mereka tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini, hari ini pada jam 8.30 pagi dengan menaiki lori polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata kesemua suspek ditahan polis selepas dipercayai membuli seorang pelajar lain sehingga cedera di rusuk kiri, Khamis lalu.

“Mereka ditahan semalam di sekitar Kuala Sungai Baru, Melaka; Kajang, Selangor; Kuala Lumpur dan daerah Johor Bahru.

“Penahanan berkenaan dilakukan susulan laporan berkaitan kejadian pelajar lelaki berusia 14 tahun dibuli oleh senior pada 9 Disember lalu sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima laporan petang kelmarin (Selasa) memaklumkan mangsa dibuli pelajar lebih senior sehingga mengalami kecederaan bengkak di bahagian rusuk kiri,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Zaharudin berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada beberapa pelajar senior yang tidak berpuas hati dengan sikap mangsa dan rakannya, menyebabkan mereka dibuli.

“Pihak polis memandangkan serius terhadap kes jenayah membabitkan pelajar khususnya kes buli di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit,” katanya.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker