‘KAMI MAHU PINDAH KUBUR ANAK’

Kuala Selangor: Pasangan suami isteri memohon Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meluluskan proses pemindahan kubur anaknya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Timah, Ijok, di sini.

Ia susulan kawasan tanah perkuburan itu didakwa terbiar dan tidak terurus selain dipercayai menempatkan kubur tidak berwaris.

Muhammad Syafiq Mohd Salleh, 29, mendakwa dia dan isteri, Nur Syazwanie Mustaffa, 29 juga sukar menziarahi kubur anaknya kerana keadaan jalan masuk rosak, berbukit dan dipenuhi lumpur setiap kali hujan.

“Saya dan isteri hanya sempat ziarah kubur anak (Mikhael Sufyan) empat kali sahaja selepas kematiannya dua tahun lalu.



“Malah, ibu dan ayah saya termasuk keluarga mentua teringin menziarahi kubur cucu mereka. Malangnya, jalan masuk ke sini tidak sempurna,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau turut meluahkan kebimbangan sekiranya tanah perkuburan itu tidak diwartakan, kawasan terbabit berkemungkinan dibangunkan dengan projek pembangunan dan pembesaran jalan pada masa akan datang.

“Saya khuatir pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan memandangkan tanah perkuburan ini tidak jauh dengan lokasi pembuangan sampah haram.

“Saya dan isteri merayu supaa JAIS mempertimbangkan permohonan ini kerana terdapat keperluan dan kewajaran yang perlu diambil kira,” katanya yang menetap di Bandar Puncak Alam, di sini.



Muhammad Syafiq berkata, dia tidak mengetahui lokasi sebenar tanah perkuburan terbabit memandangkan bukan penduduk asal kawasan itu.

Katanya, dia hanya mengetahui keadaan sebenar tanah perkuburan itu ketika mengiringi jenazah anak untuk dikebumikan.

Dia turut mendakwa, perkara itu sudah diajukan kepada pengurusan Masjid At Taufiqiah, Kampung Seri Sentosa, tahun lalu untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Nazir Masjid At Taufiqiah, Kampung Seri Sentosa, Mohamad Wagiman berkata, pihaknya masih menunggu maklumat lengkap daripada JAIS berhubung status tanah perkuburan terbabit.

“Kita masih menunggu JAIS mewartakan tanah perkuburan terbabit kerana ketika ini, kita menumpang di Tanah Perkuburan Islam Saujana Utama bagi pengebumian jenazah.

“Sehingga kini, lapan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Saujana Utama dan masih menunggu arahan seterusnya daripada JAIS dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli meminta JAIS menyelesaikan perkara itu dengan kadar segera.

“Kita minta penduduk membuat surat permohonan kepada JAIS bagi mengetahui status tanah perkuburan dan prosedur serta syarat mengenai permohonan pengalihan kubur,” katanya.

Hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker