UMNO IKUT TELUNJUK BERSATU – EXCO PEMUDA UMNO

KUALA TERENGGANU – Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris mempersoalkan tindakan parti itu yang kini dilihat hanya menurut ‘telunjuk’ walaupun memiliki kerusi terbesar dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, secara praktisnya, parti yang memiliki kerusi terbanyak dominan dalam membuat keputusan.

“Perlu diingatkan, bilangan kerusi UMNO ini mewakili sebahagian besar rakyat Malaysia dan menunjukkan suara kolektif.

“Bagaimanapun, dalam PN, UMNO tidak menjadi dominan malah dilihat sering tunduk dan terpaksa akur kepada Bersatu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kepimpinan utama daripada Bersatu turut mempengaruhi sebarang keputusan.

“Adakah kerana Perdana Menteri terdiri daripada Bersatu, jawatan kanan di Kabinet turut didominasi Bersatu walhal parti itu minoriti dalam kerajaan PN.

“UMNO menyokong Bersatu hanya untuk menyelamatkan negara daripada krisis politik yang dicipta PH yang terdiri daripada Bersatu juga. Sebab itulah kerajaan PN ini tidak stabil dan sentiasa bergolak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Najmil turut mempersoalkan nasib UMNO jika hal sama berterusan.

“Adakah nasib UMNO akan terjadi seperti DAP dan PKR yang mempunyai kerusi terbanyak dalam gabungan PH lalu kerajaan itu diruntuhkan sendiri oleh Perdana Menteri daripada Bersatu.

“Praktis pemerintahan seperti ini tidak baik untuk negara dan hanya merugikan rakyat Malaysia. Rakyat mahu sebuah kerajaan yang stabil,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin Bersatu yang wujud pada hari ini juga datang daripada mandat UMNO.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mereka melompat dan menyertai Bersatu untuk menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH). Sebab itulah kerusi ini perlu diambil balik oleh UMNO pada PRU-15.

“Jadi tak perlulah mendabik dada kerana UMNO berjasa dalam mengembalikan sokongan rakyat,” katanya.

Artikel Penuh : 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker