Buruh Paksa: AS Sekat Import Minyak Sawit Keluaran FGV Malaysia

Seorang pekerja Malaysia sedang menuai buah kepala sawit di sebuah ladang di Semenanjung Malaysia, 6 Mac, 2019.

Seorang pekerja Malaysia sedang menuai buah kepala sawit di sebuah ladang di Semenanjung Malaysia, 6 Mac, 2019.

Amerika Syarikat (AS) pada Rabu telah mengumumkan mengenai sekatan segera terhadap import minyak sawit dan produk berkaitan dari sebuah syarikat Malaysia, dengan mengatakan siasatan selama setahun telah membawa kepada petunjuk yang adanya penggunaan buruh paksa semasa proses pengeluaran.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) berkata pihaknya akan mengeluarkan perintah yang membolehkan penghantaran produk dan minyak sawit dari FGV Holding Berhad, ditahan di pelabuhan masuk di bawah undang-undang persekutuan yang melarang import barangan yang dihasilkan oleh buruh paksa.

“Kami mengeluarkan Perintah Menahan Pelepasan terhadap kesemua minyak sawit dan produk sawit yang dikeluarkan oleh FGV Holdings Berhad,” kata Brenda Smith, Penolong Pesuruhjaya Eksekutif Pejabat Perdagangan CBP, pada taklimat media secara maya pada Rabu, merujuk kepada salah satu syarikat minyak sawit terbesar di dunia, di mana kerajaan Malaysia mempunyai sebahagian pemilikan saham.

“Pada dasarnya, ini adalah pesanan untuk menahan sebarang penghantaran yang mengandungi spesifikasi komoditi daripada entiti atau wilayah yang ditentukan, dan dalam hal ini, ia akan merangkumi minyak sawit dan produk sawit yang dikeluarkan oleh FGV Holdings kerana infomasi yang kami terima menunjukkan adanya buruh paksa semasa proses pengeluaran syarikat.”

Smith berkata tindakan itu hadir selepas siasatan selama setahun mengenai tuduhan daripada pelbagai sumber, termasuk kumpulan hak pekerja. Ini adalah kali pertama CBP mengambil tindakan terhadap pengeluar minyak sawit itu, tambahnya.

“Siasatan tersebut mendedahkan terdapatnya indikasi penggunaan buruh paksa termasuk penyalahgunaan kerentanan, penipuan, sekatan pergerakan, pengasingan, keganasan fizikal dan seksual, intimidasi dan ancaman, penyimpanan dokumen pengenalan diri, penahanan gaji, perhambaan hutang, penyalahgunaan kondisi kerja dan kehidupan, dan kerja lebih masa yang berlebihan. Kami juga mempunyai petunjuk bahawa adanya buruh paksa di kalangan kanak-kanak yang turut berpotensi digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit FGV,” kata Smith.

Penggunaan buruh paksa tidak diterima oleh AS, kata Smith.

Malaysia dan Indonesia menghasilkan 85 peratus pengeluaran minyak sawit dunia, iaitu sebahagian daripada industri global yang bernilai AS$65 bilion, menurut agensi berita antarabangsa Associated Press.

FGV Holdings adalah salah satu pengeluar terbesar di dunia, menggaji sekitar 30,000 pekerja asing dan menguruskan sekitar 1 juta ekar, kata AP. Ia melaporkan pendapatan RM13.26 bilion (AS$3.1 bilion) pada 2019, menurut penyata pendapatannya.

Laporan penyiasatan AP yang diterbitkan minggu lalu mendakwa penyalahgunakan industry “dari perhambaan hutang sehingga perhambaan secara terang-terangan” dalam pengeluaran minyak sawit di Malaysia dan Indonesia.

Pegawai AS tidak menyebut mengenai pengeluar minyak sawit Indonesia pada Khamis, tetapi mengatakan mereka akan terus menyiasat industri itu.

“Kami ada menerima dakwaan yang lebih luas berhubung industri kelapa sawit, jadi kami akan terus menyiasat terhadap mana-maa syarikat lain dalam industri ini yang kami mempunyai kebimbangan terhadapnya,” tambah beliau.

“Kami menggesa komuniti pengimport AS untuk melakukan usaha wajar dan memastikan bahawa rantaian bekalan bebas dari buruh paksa, dan kami mendorong pengguna AS untuk mengemukakan pertanyaan mengenai dari mana produk mereka berasal.”

Tindak balas syarikat

Berikutan pengumuman CBP, FGV Holdings Berhad memberitahu BeritaBenar di Kuala Lumpur bahawa penyelewengan buruh yang disebut oleh agensi AS adalah dari tahun 2015 dan telah diatasi.

“FGV telah memperjelas rangkaian peristiwa yang melibatkan kontraktor FGV yang pada dasarnya berlaku pada 2015 yang telah diselesaikan,” kata Azhar Abdul Hamid, Pengerusi FGV Holdings Berhad pada Rabu.

“Sekiranya mereka [AS] pada dasarnya ingin memanjangkan perkara ini yang kini tidak lagi relevan, itu adalah hak mereka.”

Azhar merujuk kepada penyelidikan Wall Street Journal pada 2015 mengenai amalan buruh di syarikat itu, yang kemudian disebut Felda Global Ventures. Pada masa itu, WSJ melaporkan dakwaan penyalahgunaan di ladang kelapa sawit syarikat tersebut termasuk buruh paksa, penahanan upah, perhambaan hutang, kondisi sekitar kawasan pekerjaan yang merbahaya dan tiada rawatan perubatan atau pampasan.

Smith, pegawai CPB juga berkata setakat yang diketahui agensi itu, FGV Holdings dan Felda Global Ventures adalah satu dan entiti yang sama dari segi skop penyiasatan, walaupun terdapat perubahan pada nama.

Pada 2018, setelah melakukan siasatan sendiri berdasarkan artikel WSJ, Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) telah menyekat syarikat itu dan memberhentikan. Sekatan turut dikenakan terhadap beberapa perkebunan syarikat tersebut tahun ini, menurut laporan.

Berpusat di Zurich, RSPO adalah entiti multinasional yang memantau kesan ekologi industri dan amalan buruh, tetapi dikritik secara berkala sebagai tidak berkesan oleh kumpulan persekitaran.

Tuduhan terbaru

Sementara itu, AP dalam laporan siasatan media yang diterbitkan pada 24 September mendakwa “eksploitasi meluas dalam industri kelapa sawit, dari perhambaan hutang hingga perhambaan  secara terang-terangan.”

Wartawan telah menemu ramah lebih daripada 130 pekerja yang sedang dan juga pernah bekerja dari 12 buah syarikat di seluruh Malaysia dan Indonesia, termasuk FGV Holdings, kata agensi berita itu.

“Mereka menggambarkan perbagai bentuk eksploitasi, dengan penganiayaan yang paling serius termasuk menggunakan buruh kanak-kanak, perhambaan secara terang-terangan dan tuduhan memperkosa,” kata agensi berkenaan dalam laporan susulannya.

Sebagai tindak balas, FGV Holdings mengeluarkan kenyataan pada 26 September yang  mengatakan bahawa syarikat berkenaan memberi komitmen dalam menghormati hak asasi manusia dan menegakkan piawaian buruhnya.

“Agenda kelestarian dan hak asasi manusia FGV tetap menjadi keutamaan kerana kami terus mendedikasikan tenaga kami untuk meningkatkan amalan buruh kami,” kata kenyataan syarikat itu.

Syarikat berkenaan turut mengatakan bahawa ia telah melaksanakan rancangan jangka panjang “untuk memperkukuhkan lagi pelbagai aspek amalan buruhnya seperti proses pengambilan pekerja, program latihan hak asasi manusia, keadaan persekitaran kerja dan kehidupan, serta mekanisme pengaduan, antara lainnya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *