‘Kakak terhempas atas batu, jatuh dalam sungai’

 

Kuala Lumpur: “Hajat kakak untuk melakukan aktiviti hayunan tali tinggi atau ‘rope swing’ tercapai.

“Namun, Allah mengujinya dengan kecederaan tulang belakang,” luah Mohamad Yakub Abd Rahim, 31.



Mohamad Yakub, adik kepada Siti Halijah Abd Rahim, 33, yang cedera selepas terhempas ke atas batu dan jatuh ke dalam sungai di Kuala Kubu Bharu dalam kejadian pada 27 September lalu.

Difahamkan, berlaku kesilapan teknikal pada kabel hingga menyebabkan kejadian itu berlaku.

Bercerita lanjut, Mohamad Yakub berkata, Siti Halijah yang juga anak kelima daripada enam beradik sempat mendaki gunung di Negeri Sembilan sehari sebelum kejadian.

“Pada hari kejadian, kakak menyatakan hasrat untuk melakukan terjunan terlebih dahulu tetapi saya terjun dulu dan tunggu dia (kakak) di bawah,” katanya.



Menurutnya, ahli keluarga termasuk ibu, Noriah Yusuff, 57, menyaksikannya dan kakak melakukan aktiviti itu.

“Ketika berada di bawah, saya dapat perhatikan kakak terjun dan pada ketinggian kira-kira 10 meter

“Apabila saya pusing ke belakang untuk pergi ke tempat kakak mendarat, saya terdengar bunyi seperti benda jatuh ke dalam air,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Pembantu Tadbir Undang-Undang Mahkamah Tinggi Shah Alam itu, Siti Halijah diselamatkan oleh petugas kayak yang kebetulan berada di lokasi kejadian.



“Ketika kakak diselamatkan, dia tidak sedarkan diri. Mereka (petugas kayak) memberikan bantuan dengan mengepam dadanya hingga kakak sedar.

“Saya bersyukur sebab dia masih bernyawa dan hanya Allah sahaja yang tahu betapa takut dan risau saya kehilangan kakak yang disayangi,” katanya.

Menurutnya, Siti Halijah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menerima rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Selayang.

Siti Halijah selamat menjalani pembedahan tulang belakang di Hospital Selayang semalam.



Mohamad Yakub berkata, dia sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan berdoa agar Siti Halijah kembali sembuh seperti sedia kala.

“Kami tidak menuding jari ke arah pengendali khidmat aktiviti (rope swing) itu. Ini semua qada dan qadar Allah.

“Mereka (pengendali) sangat professional dan bertanggungjawab di atas apa yang terjadi dari hari kejadian sehingga ke hari ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Yakub turut terharu dan mengucapkan terima kasih kepada netizen yang tidak putus mendoakan serta memberi sokongan moral kepada Siti Halijah.



“Niat saya hanya mahu berkongsi cerita mengenai kakak di laman sosial Facebook kerana saya sangat rapat dengannya.

“Saya tidak tahu apa hikmah yang bakal Allah berikan. Saya hanya berharap kakak kembali sembuh dan dapat bersama kami sekeluarga seperti sedia kala,” katanya.

Mohamad Yakub berkata, dia sekeluarga akan memantau perkembangan Siti Halijah dari semasa ke semasa termasuk mencari kos bagi menampung rawatan susulan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button