SIAPA BAKAL PENGARAH BESAR FELDA YANG BARU?
ANAK FELDA BAKAL TERAJUI KEPIMPINAN BARU?
Dato Dr Othman Omar telah menamatkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai Pengarah Besar Felda pada 30 September 2020 menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Koporat Felda.
Pengganti Othman Omar akan diumumkan dalam masa terdekat namun kebanyakan peneroka berharap agar Pengarah Besar yang bakal dilantik merupakan kalangan generasi Felda sendiri. Menurut pandangan peneroka hanya kalangan mereka yang berasal dari Felda tahu keperluan serta cara untuk memperbaiki kelemahan yang ditinggalkan bekas-bekas Pengarah Besar Felda.
Mereka juga berharap agar tiada unsur politik digunakan dalam memilih seorang Pengarah Besar yang baru tetapi mengutamakan golongan professional yang benar-benar berjiwa Felda.
Felda sebelum ini mempunyai sejarah kontroversi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berikutan penularan covid19. Bantuan kepada peneroka yang tidak sampai ditambah dengan kejatuhan harga komoditi sawit begitu membebankan golongan peneroka. Bantuan sara hidup yang ditangguhkan menggunakan alasan covid juga mencetus kontroversi namun ditangani dengan arahan agar pembayaran sara hidup kepada peneroka diteruskan seperti biasa oleh Menteri Kanan.
Kini terpulang kepada Menteri yang memegang portfolio menjaga Felda untuk menentukan haluan Felda. Siapa sahaja yang dipilih perlu bertanggungjawab terhadap seluruh peneroka dan generasi Felda itu sendiri. Sebaiknya Felda perlu dirombak semula dengan mengkaji semua lantikan pengarah jabatan semasa PH memerintah memandangkan kini pemerintahan negara telah berubah.
Usah bazirkan wang peneroka untuk membayar gaji mereka yang dibawa masuk oleh pengurusan lepas tanpa memberi pulangan yang baik untuk Felda itu sendiri.