DEBAT PRESIDEN US : PEMENANGNYA …
Selasa lalu, ramai yang mengikuti secara langsung Debat Presiden di antara penyandang jawatan Presiden Amerika Donald Trump dan pencabarnya, Joe Biden. Ia adalah siri pertama acara debat yang sudah menjadi tradisi menjelang pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS).
Bagi kedua-dua calon, ia adalah pentas kempen utama bagi menarik sokongan rakyat menjelang pengundian pada 3 November ini. Apa tidaknya, program itu ditonton oleh hampir 29 juta orang. Ia juga medan terbaik untuk warga negara itu menilai sendiri calon yang akan dipilih bagi mentadbir negara itu untuk tempoh empat tahun lagi.
Namun, sebahagian besar liputan media mengenai debat berkenaan tertumpu pada pertengkaran mulut antara kedua-dua calon, dengan sebahagian besarnya menerusi provokasi berterusan yang dilontarkan oleh Trump.
Presiden dilihat menggunakan taktik lapuknya dengan cuba merendah-rendahkan karektor lawan dengan cuba mengheret isu peribadi termasuk yang membabitkan ahli keluarga Biden termasuk dakwaan anak Biden yang didiscaj daripada berkhidmat dengan tentera AS.
Calon parti Republikan yang mahu mempertahankan jawatan berkenaan untuk penggal kedua itu sering kali mengganggu hujah Biden sehingga memaksa moderator, Chris Wallace campur tangan. Ada kalanya, Wallace tidak mempunyai pilihan selain untuk meninggikan suara bagi mengawal keadaan.
Ia menyebabkan debat berkenaan – seperti pendapat banyak pemerhati politik – kerap kali tersasar daripada matlamatnya. Daripada program debat politik, ia seakan bertukar kepada mini sarkas apabila kedua pihak saling berbalas sindiran.
Bagaimanapun, ramai yang geli hati apabila Biden menempelak Trump dengan pada satu ketika berkata: “Will you please shut up man” (Anda boleh tolong diam? dan “Keep yapping” (Teruskan membebel ). Malah, Biden juga, pada satu ketika menyelar Trump sebagai presiden terburuk dalam sejarah AS dan menggelarnya sebagai badut.
Di sebalik huru-hara itu, Trump – jika diperhalusi – sebenarnya gagal menjawab sekurang-kurangnya tiga perkara pokok yang menjadi antara penentu mengenai nasibnya untuk terus berada di Rumah Putih. Ia termasuk dakwaan kelemahannya dalam menangani pandemik Covid-19 yang sehingga ini sudah menyebabkan 200,000 orang maut di AS.
Biden mengulangi apa yang menjadi persoalan ramai rakyat negara itu iaitu Trump sudah lama mengetahui bahaya pandemik berkenaan, tetapi mengambil mudah dan tidak mahu mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang penularan wabak pembunuh itu.
Selain itu, Biden turut mempersoalkan kemelesetan ekonomi yang dialami di AS berikutan pandemik berkenaan. Menurut Biden, Trump mengambil alih pentadbiran dengan prestasi ekonomi yang cemerlang, tetapi presiden itu gagal menguruskannya dengan baik. Sebaliknya, Biden berazam untuk memperkenalkan pelan pemulihan ekonomi yang dapat mencipta peluang pekerjaan.
Aspek lain yang menjadi modal Biden adalah cara Trump mengendalikan isu berkaitan keganasan polis dalam isu kematian individu berkulit hitam di negara itu termasuk George Floyd dan Breonna Taylor. Biden menyelar Trump kerana menggunakan kekerasan untuk menyuraikan tunjuk perasaan aman yang tercetus di seluruh negara.
Trump pula cuba menangkis hujah lawannya dengan mengatakan ia sesuatu yang perlu dilakukan untuk menjaga keamanan. Beliau bagaimanapun enggan untuk melabelkan secara terbuka mana-mana kumpulan berhaluan kiri yang terbabit dalam insiden itu sebagai ‘white supremacist’.
Namun, ‘senjata’ utama Biden pada acara itu adalah apabila beliau mencabar Trump untuk mengemukakan penyata cukai. Isu ini menjadi perhatian rakyat AS apabila akhbar The Guardian baru-baru ini mendakwa bahawa Trump hanya membayar cukai kerajaan persekutuan sebanyak AS$750 (kira-kira RM3,112) pada 2016 dan 2017. Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding cukai yang dibayar oleh bomba sukarela dan juruelektrik di AS.
Akhbar itu mendakwa presiden menggunakan ‘cara yang kreatif’ untuk membayar cukai termasuk memasukkan perbelanjaan diri sebagai kos operasi perniagaan. Selain itu, beliau memasukkan resort mewah sebagai aset syarikat dan didakwa memfailkan tuntutan pulangan cukai dengan mengisytiharkan kerugian perniagaannya.
Trump hanya menjawab dengan mendakwa membayar cukai berjumlah jutaan dolar AS pada tahun berkenaan. Tetapi, beliau tidak memberikan jawapan apabila diminta Biden supaya mengemukakan penyata cukai berkenaan. Jika dilihat pada sejarah pemilihan presiden, calon presiden terdahulu secara terbuka mendedahkan penyata cukai mereka.
Pada tahap ini, amat sukar untuk membayangkan sama ada debat siri pertama itu memberikan kelebihan terhadap Biden. Apatah lagi, tinjauan dibuat oleh Quinnipiac baru-baru ini, mendapati bahawa hanya tiga peratus pengundi berkata bahawa debat pada pemilihan kali ini akan mempengaruhi undi mereka.
Bagaimanapun, setidak-tidaknya, ia memberi petunjuk jelas mengenai pendirian calon berhubung isu semasa yang menjadi perbualan utama rakyat AS. Apa yang pasti, ramai yang tidak sabar menanti apa lagi yang bakal keluar dari mulut kedua calon apabila debat itu bersambung untuk siri kedua dan ketiga, masing-masing pada 15 dan 22 Oktober ini.
Penulis adalah Penolong Pengarang Berita, Harian Metro