RM500 JUTA PERUNTUKAN UNTUK USAHAWAN BELUM DI POHON

USAHAWAN Bumiputera perlu merebut peluang diberikan kerajaan menerusi dana pembiayaan yang disalurkan menerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Penganalisis ekonomi, Prof Dr Azali Mohamed berkata, banyak keistimewaan diberikan kepada pemohon dana berkenaan, justeru ia perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh lebih ramai usahawan Bumiputera.

Beliau yang juga Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia, berkata ekonomi tempatan terutama dalam kalangan Bumiputera mampu dipulihkan sekiranya dana itu dioptimumkan.

“Pemberian moratorium selama enam bulan dan permohonan tanpa cagaran adalah dua keistimewaan yang sangat menarik untuk dana sebesar ini.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, dana seumpama ini amat membantu usahawan Bumiputera demi kelangsungan operasi perniagaan masing-masing terutama mereka yang terjejas akibat kesan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dana pembiayaan usahawan Bumiputera yang disalurkan kerajaan menerusi PUNB dan Mara sebanyak RM500 juta yang masih berbaki dan belum dimohon.

Perkara itu dibentangkan dalam Laporan Laksana ke-23 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kelmarin.

Dana berkenaan diumumkan kerajaan menerusi Penjana pada Jun lalu apabila RM200 juta ditawarkan melalui PUNB dan RM300 juta disalurkan menerusi Mara.

Daripada jumlah berkenaan hanya RM16.22 juta disalurkan oleh PUNB sehingga 18 September lalu manakala jumlah yang disalur menerusi Mara belum diperoleh.

Mengulas lanjut, Azali berkata, jika dilihat kepada dana PUNB hanya lapan peratus dana digunakan usahawan dan masih banyak belum dimanfaatkan.

Katanya, kesedaran atau promosi perlu diperkasakan lagi bagi memastikan usahawan tidak tercicir dari menerima bantuan.

“Ini peluang kepada usahawan meningkatkan potensi perniagaan dengan penggunaan teknologi bagi menambah baik pentadbiran operasi dan automasi sistem perniagaan.

“Peningkatan ini secara tidak langsung membantu meningkatkan produktiviti perniagaan dengan pasaran yang lebih luas,” katanya.

hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *