Hafizul didakwa cuba bunuh isteri, cederakan ‘bodyguard’ di KLIA

Oleh – Syeikh Baran


Hafizul didakwa cuba bunuh isteri, cederakan ‘bodyguard’ di KLIA
Hafizul ketika dikawal ketat ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

Hafizul Hawari yang merupakan individu terlibat dalam insiden melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan termasuk cuba membunuh isterinya yang dikenali sebagai Ustazah Farah Cie.

Bagaimanapun Hafizul, 38, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dr. Azrol Abdullah.



Mengikut pertuduhan pertama, Hafizul didakwa telah melakukan cubaan bunuh terhadap Farah Md. Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal, 1 KLIA di sini pukul 1.09 pagi pada 14 April lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan jika menyebabkan kematian boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun.

Pertuduhan kedua, Hafizul didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap Mohd. Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol senjata yang boleh menyebabkan kematian pada waktu, tempat dan tarikh sama yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan dengan denda atau sebat jika sabit kesalahan.



Hakim Azrol kemudian tidak membenarkan Hafizul diikat jamin dan menetapkan 11 Jun ini bagi sebutan semula kes.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Raya Pengarah Pendakwaan Selangor Ku Hayati Ku Haron, Mohd. Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar dan Norsyazwani Abdullah sementara
Hafizul diwakili peguam Muhammad Naim Mahmud.

Berikutan tiada ikat jamin diberikan, Hafizul kekal ke Penjara Sungai Buloh sehingga sebutan semula kesnya di Mahkamah Sesyen Kota Bahru dan Sepang.

Semalam di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan Hafizul mengaku tidak salah tujuh pertuduhan tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, peluru dan mercun.



Ketujuh-tujuh kesalahan itu dilakukan oleh Hafizul di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan Hospital Pakar KPJ Perdana di sini, Kota Bharu pukul 2 petang pada 15 April lalu.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh, Selangor sepanjang prosiding kes selain menetapkan 23 Mei depan untuk lantikan peguam, sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, selepas melarikan diri lebih 36 jam, Hafizul yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA, Sepang akhirnya berjaya diberkas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Hafizul ditahan di depan sebuah hospital swasta kira-kira pukul 3 petang.



Terdahulu pada 14 April lalu Kosmo! melaporkan seorang pengawal peribadi Ustazah Farah Cie cedera parah selepas ditembak suspek dalam kejadian di KLIA.

Menurut hantaran di Facebook Farah Cie, beliau berkata, terdapat individu telah melepaskan tembakan kepada pengawal peribadinya di KLIA.

Kemudian pada 22 April lalu, Farah Cie dalam hantaran laman sosial yang sama, mengucapkan rasa syukur apabila pengawal peribadinya yang menjadi mangsa tembakan itu sudah sedarkan diri.

Berita itu dikongsi oleh wanita tersebut menerusi satu hantaran dan antara kata-kata itu ialah “Syukur hari ini terima berita Along (panggilan kepada pengawal peribadi) sudah sedarkan diri. Terima kasih ya Allah!”.



Sumber – KOSMO! ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading