Biden enggan berdebat dengan Trump jika masih dijangkiti

Calon Demokrat, Joe Biden bercakap kepada media sebelum menaiki pesawat di Hagerstown Regional Airport. – Foto AFP

HAGERSTOWN: Calon Demokrat, Joe Biden semalam berkata, beliau enggan berdebat dengan Donald Trump seperti dijadualkan minggu depan sekiranya Presiden Amerika Syarikat (AS) itu masih dijangkiti COVID-19, dan akan mematuhi langkah keselamatan.

“Saya tidak sabar untuk berdebat dengan beliau, tetapi saya berharap semua protokol akan dipatuhi,” kata Biden, 77, kepada wartawan, sebaik pulang daripada berucap berhampiran tapak Perang Saudara di Gettysburg.

Trump, 74, Jumaat lalu mengumumkan bahawa beliau positif COVID-19, dua hari selepas debat pertama bersama Biden untuk pemilihan Presiden AS bulan depan.

Kedua-duanya dijadualkan sekali lagi berdebat pada 15 Oktober, namun Biden berkata, ia tidak harus diteruskan sekiranya Trump masih dijangkiti.

Garis panduan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit berkata, individu yang disahkan positif perlu dikuarantin sekurang-kurangnya 10 hari selepas simptom pertama dikesan, manakala pesakit yang keadaannya lebih teruk perlu diasingkan sekurang-kurangnya 20 hari.

“Ia adalah masalah yang sangat serius jadi saya akan mematuhi saranan doktor,” kata Biden.

Trump tidak memberikan sebarang tanda akan membiarkan keadaan kesihatannya mengganggu keadaan, dan berkata menerusi Twitter, beliau tidak sabar mahu berdebat lagi. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker