Keputusan KPM tutup sekolah selepas teliti data

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Md Jidin

Kuala Lumpur: Sebarang keputusan berkaitan penutupan sekolah dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berdasarkan penelitian yang mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Md Jidin berkata, beliau menerima banyak pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak mengenai keperluan untuk menutup sekolah apabila terdapat peningkatan kes penularan Covid-19.

“Saya menghargai segala saranan yang diberikan. Saya sedar kegusaran dan kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah. Kami di KPM sentiasa memantau rapat keadaan di sekolah di seluruh negara.

“Sebarang keputusan yang dibuat oleh KPM adalah berdasarkan penelitian yang mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan KKM dan MKN,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.



Radzi berkata, mungkin ada yang melihat dalam keadaan tertentu KPM seolah-olah lambat membuat keputusan.

“Hakikatnya tidak begitu. Tiada siapa di dunia ini berpengalaman menangani krisis Covid-19 kerana ia tidak pernah berlaku namun, kita mula belajar beberapa bulan kebelakangan ini apakah pendekatan yang sesuai dalam suasana dan keadaan tertentu.

“Alhamdulillah, pengalaman mengajar kita untuk membuat sesuatu dengan lebih baik. Menaungi lebih lima juta orang murid sekolah, pelajar matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG), lebih 500,000 orang guru, pensyarah dan kakitangan, serta lebih 10,000 buah sekolah memerlukan pendekatan yang cermat.

“Kita belajar bahawa ketelitian adalah amat penting dalam melahirkan keputusan yang tepat dan jitu,” katanya.



Menurutnya, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilaksanakan, walaupun terdapat kekurangan di sana sini, secara keseluruhannya pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM di sepanjang tempoh ini berjalan dengan baik.

“Hari ini KPM mendapat pengesahan daripada KKM bahawa kawasan Klang, Selangor serta di Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah adalah kawasan zon merah.

“Sehubungan itu, petang tadi KPM mengumumkan bahawa sekolah di kawasan tersebut akan ditutup bermula esok sehingga 23 Oktober.

“Bersama-samalah kita bekerjasama rapat dalam menangani cabaran ini. Insya-Allah, kami di KPM akan terus komited untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker