Keputusan KPT Berdasarkan Situasi Semasa, Demi Kebaikan Pelajar – Rosnah
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin merasa terkilan gara-gara pengumuman penangguhan pendaftaran pelajar di saat akhir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini dikecam teruk di media sosial.
Jelas beliau, boleh dikatakan sebahagian besar pelajar yang sudahpun pulang ke kampus masing-masing menyatakan rasa tidak puas hati dan tidak setuju dengan keputusan tersebut.
Katanya lagi, pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memahami kesulitan para pelajar tetapi situasi yang dihadapi negara sekarang di luar jangkaan di mana secara kebetulan, peningkatan kes COVID-19 juga berlaku di minggu pendaftaran dan mahu atau tidak, pihak KPT terpaksa membuat pengumuman perkara berkaitan.
“Lagipun, keputusan ini bukanlah dibuat sesuka hati atau secara sengaja. Keputusan tersebut adalah hasil perbincangan di antara pihak KPT, pengurusan IPT (Institut Pengajian Tinggi), MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia). Penangguhan pendaftaran pengajian terpaksa dilaksanakan demi keselamatan rakyat dan negara.
“Musim-musim COVID-19 ni, banyak perkara di luar jangka… sebab tu semua pihak perlu faham dan bersedia dengan sebarang kemungkinan. Inilah salah satu situasi dan perkara yang dikatakan dengan norma baharu.
“Apapun pihak KPT pasti akan melakukan yang terbaik dalam menangani krisis ini. Setakat ini, Dr. Noraini sendiri sudah pun membuat permohonan maaf kerana menyedari keputusan ini banyak memberi kesan kepada para pelajar dan keluarga,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Tambah Rosnah lagi, Dr. Noraini juga sentiasa bersedia mengambil tanggungjawab dengan keputusan yang dibuat apabila pihaknya telah berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi memohon mempertimbangkan penjadualan semula penerbangan para pelajar pulang ke kampus.
“Tak mustahil lepas ni akan ada lagi usaha-usaha lain bagi membantu para pelajar akibat daripada situasi ini.
“Buat masa sekarang, semua pihak yang terlibat perlu memberi kerjasama dan sokongan kepada pihak KPT dalam menangani krisis ini,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, dalam situasi yang semakin meruncing, pihak KPT pasti cuba yang terbaik dalam merancang, mengurus dan membuat keputusan serta yang penting, keselamatan dan nyawa perlu diberikan keutamaan.
Dilaporkan, Universiti Utara Malaysia (UUM) menutup kampus utamanya di Sintok, Kedah berkuat kuasa serta merta beberapa hari lalu susulan seorang pelajar yang baru pulang dari Sabah dikesan positif COVID-19. – UMNO Online