Polis rampas dadah RM11 juta, bom tangan, raifal

Shah Alam: Polis merampas dadah bernilai RM11,440,714.29 serta menahan enam lelaki tempatan dalam serbuan di sekitar Kota Damansara, Petaling Jaya, Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman membuat lima siri serbuan dan menangkap enam lelaki berumur antara 19 hingga 33 tahun.

“Serbuan pertama di sebuah rumah jenis teres dua tingkat yang disewa di Seksyen 5, Kota Damansara, Petaling Jaya. Polis menangkap seorang lelaki berumur 23 tahun dan menemui dadah di dalam bilik tidur tingkat bawah.

“Ia membabitkan 50 bungkusan disyaki syabu dianggarkan seberat 51.5 kilogram (kg) dan 262 bungkusan disyaki heroin base dianggarkan seberat 98.25 kg dengan nilai rampasan dadah dianggarkan sebanyak RM11,440,714.29,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Noor Azam berkata, serbuan kedua pula di sebuah rumah yang disewa jenis kondominium di Jalan Teknologi Taman Sains Selangor 1, Kota Damansara.

“Polis menahan dua lelaki berumur 19 tahun dan 26 tahun, di mana hasil pemeriksaan polis menemui tiga bom tangan, selaras raifal dan 140 butir peluru hidup di dalam sekotak kertas warna coklat di dapur rumah.

“Sementara itu, dua lelaki ditahan di sebuah stesen minyak Jalan Persiaran Surian, Kota Damansara dan seorang lelaki ditahan di tepi Jalan Sepah Putri 5/2 Seksyen 5, Kota Damansara.

“Ketiga-tiga suspek ini ditahan kerana dipercayai terbabit dengan sindiket dadah ini,” katanya.

Beliau berkata, dua suspek bekerja sebagai pelayan restoran dan seorang daripadanya mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah.

 

NOOR Azam menunjukkan raifal yang dirampas. FOTO Muhd Asyraf Sawal

“Seorang suspek bekerja sebagai peniaga restoran mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Tiga lagi suspek masing-masing bekerja sebagai juruelektrik, peniaga dalam talian dan pembaiki telefon bimbit tidak mempunyai rekod lampau.

“Ujian saringan urin mendapati empat daripada suspek positif methamphetamine, ketamin dan amphetamine, manakala dua lagi suspek didapati negatif,” katanya.

Dalam serbuan ini katanya, polis turut menyita tiga kenderaan jenis Toyota Camry, Honda Accord, Perodua Bezza.

“Polis turut menyita wang tunai berjumlah RM1,806, tiga utas rantai emas, sembilan bentuk cincin emas dan dua utas jam tangan dan jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM98,162,” katanya.

Beliau berkata, seorang suspek direman tujuh hari mulai 6 hingga 12 Oktober manakala lima lagi suspek direman empat hari bermula 6 hingga 9 Oktober ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan tiga suspek turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi 1960.

“Polis akan menghantar bom ke Unit Pemusnah Bom untuk mengetahui sama ada ia aktif atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, polis yakin dadah itu untuk pasaran tempatan kepada pengguna di sekitar Lembah Klang.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker