COVID 19- SELANGOR CATAT 8 KLUSTER AKTIF

SHAH ALAM: Selangor mencatatkan lapan kluster aktif termasuk tiga kluster di Klang yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata pada ketika ini, daerah Klang sudah diwartakan sebagai zon merah.

“Mukim Klang mencatatkan bilangan kes sebanyak 79 kes aktif dan 24 daripadanya adalah kes import B (Sabah).

“Bagaimanapun semua kluster adalah terkawal dan proses pengesanan kontak sedang dilaksanakan.

“Kluster pertama adalah kluster Jalan Apas Sabah membabitkan sembilan kes membabitkan individu yang pulang dari Sabah selepas menghadiri majlis perkahwinan di Jalan Apas Tawau,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kluster kedua pula membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) Pandamaran berjumlah 15 kes dengan semuanya berada di dalam tahanan polis.

“Kluster ketiga adalah Kluster Jalan Meru membabitkan kakitangan sebuah syarikat beralamat di Jalan Meru yang menghadiri mesyuarat syarikat.

“Sehingga kini 68 pekerja syarikat dan kontak mereka dikesan positif, ini jangkitan kumpulan terkawal dan tidak membabitkan penduduk atau premis lain di Jalan Meru Klang,” katanya.

Bagaimanapun Dr Siti Mariah berkata, terdapat kluster baharu yang aktif berada di Daerah Petaling iaitu Kluster Bah Puchong (Sabah-Puchong).

“Terdapat lima kes aktif dalam kluster ini membabitkan tiga individu dari satu keluarga yang pulang dari Sabah dan tinggal di Puchong.

“Tiga individu berkenaan sedang menjalani kurantin namun menerima kunjungan dua ahli keluarga mereka dari Perak.

“Ia adalah jangkitan di antara ahli keluarga dan mereka kini sedang menjalani rawatan di Hospital,” katanya.

Katanya, empat kluster lain adalah Kluster Seri Setia, Daerah Petaling yang merekodkan empat kes; Kluster Jelok, Daerah Petaling (lima); Kluster Seri Anggerik, Daerah Hulu Selangor (17), dan Kluster Embun, Daerah Hulu Langat (tujuh).

BH Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker