Dua beradik hilang dari rumah perlindungan ditemukan selamat, dua ditahan

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe

KUALA LUMPUR, 8 Okt  — Dua beradik yang hilang dari Rumah Bakti Darussalam, Gombak di sini, sejak 29 Sept lepas, ditemukan dalam keadaan selamat di Jalan Gombak, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata, Fatimah Azzahrah Abdullah, 11, dan adiknya Daniel Abdullah berusia sembilan tahun itu, dijumpai pada pukul enam petang kira-kira 10 kilometer dari lokasi dikatakan mereka melarikan diri.

“Mereka telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arifai berkata pihaknya mendapati kedua-dua kanak-kanak itu tidak melarikan diri dari rumah kebajikan berkenaan, sebaliknya mereka telah dipindahkan oleh dua lelaki ke rumah kebajikan lain, di Batu 11 Jalan Gombak.

“Nota tulisan tangan yang ditinggalkan sebelum ini, betul, ditulis oleh kanak-kanak tersebut,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama, polis menahan dua lelaki tempatan, kira-kira pukul 5 petang tadi, dipercayai terlibat dalam kes kehilangan dua beradik tersebut.

Arifai berkata kedua-dua lelaki yang berumur 33 dan 34 tahun itu, ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 57 Akta Kanak-Kanak 2001 dan akan direman esok.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker