Karabakh terus diserang menjelang usaha pertama rundingan

Tembakan meriam memusnahkan banyak kediaman di Stepanakert sejak pertempuran terbaru meletus di Nagorno-Karabakh akhir bulan lalu. – Foto AFP

STEPANAKERT, AZERBAIJAN: Pertempuran antara pasukan Armenia dan Azerbaijan berhubung rantau Nagorno-Karabakh berlarutan sehingga hari ini, dengan tembakan meriam terbaru di ibu negeri wilayah itu, sebelum mesyuarat pertama perunding antarabangsa di Geneva.

Menteri Luar Azerbaijan, Jeyhun Bayramov dijadualkan bertemu diplomat dari Perancis, Russia dan Amerika Syarikat (AS), yang menubuhkan Kumpulan Minsk bagi menyelesaikan konflik Karabakh sejak era 1990-an.

Menteri Luar Armenia tidak akan menghadiri pertemuan itu, selepas Yerevan enggan terbabit dalam sebarang perundingan membabitkan diplomat kanan kedua negara selagi pertempuran masih berlaku.

Sebaliknya, Zohrab Mnatsakanyan akan bertemu rakan sejawatnya di Moscow Isnin depan.



Letupan dan siren terus kedengaran di ibu negeri Nagorno-Karabakh, Stepanakert ketika bandar itu dilanda tembakan meriam.

Letupan berkenaan memusnahkan banyak kediaman sejak pertempuran meletus akhir bulan lalu, dan Stepanakert dipenuhi kesan tembakan dan lubang besar hasil tembakan meriam.

Pegawai pertahanan di Azerbaijan dan Armenia berkata, pertempuran berlarutan hingga hari ini, dengan kedua belah pihak mendakwa menyebabkan kemusnahan besar terhadap satu sama lain, termasuk mengebom kawasan awam.

Di sepanjang kawasan letupan di Stepanakert, Azerbaijan berkata, pasukan Armenia menembak beberapa perkampungan berhampiran barisan hadapan, menyebabkan ramai yang cedera dan maut. – AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button