WARIS DAN PESAKIT COVIS 19 TERTEKAN, TRAUMA

Kuala Terengganu: Jangan beri tekanan kepada pesakit Covid-19 dan mengeji ahli keluarga mereka.

Peringatan itu oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus susulan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat pesakit wabak itu di media sosial hingga mereka menerima tohmahan dan dikecam.

Katanya, perbuatan itu termasuk menggunakan bahasa kesat sangat tidak wajar, malah menggambarkan peribadi seseorang yang tiada adab dan budi bahasa.

“Saya ada menerima mesej dan panggilan telefon daripada ahli keluarga pesakit yang menceritakan tekanan dialami mereka.

“Paling menyedihkan, ada anak-anak diberi gelaran anak bapa Covid-19.

“Masyarakat bertindak melulu apabila memulaukan pekerja premis sebaik premis berkenaan mempunyai kes positif Covid-19 atau pernah dikunjungi pesakit positif, ” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau turut mendedahkan aduan individu yang dilarang menghantar anak ke Taska atau tadika disebabkan bekerja di premis yang dikaitkan ada kes positif.

“Tohmahan dan kecaman sebahagian masyarakat mendatangkan ketakutan yang melampau terutamanya membabitkan kanak-kanak, ” katanya.

Terengganu ketika ini mencatat 149 kes dengan 31 kes aktif termasuk lima kes baharu direkodkan setakat semalam di Kuala Nerus dan Dungun serta daerah ini.

Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *