4 individu dikompaun gagal pakai pelitup muka

Gambar sekadar ilustrasi

Labuan: Empat individu dikompaun kerana ingkar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, mereka yang dikompaun itu membabitkan dua lelaki dan dua wanita.

Menurutnya, kes pertama dikesan berlaku di hadapan sebuah restoran di kawasan bandar pada 11.31 pagi ketika sepasukan polis menjalankan tugas pemantauan.

“Pasukan polis mendapati lelaki terbabit tidak memakai pelitup muka ketika berada di lokasi selain turut didapati merokok.



“Tindakan kompaun terus dikeluarkan terhadapnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad berkata, kes kedua dilaporkan berlaku di kawasan parkir kenderaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) apabila seorang lelaki turut dikesan tidak memakai pelitup muka.

Katanya, kes ketiga pula membabitkan dua wanita yang sedang bekerja di pusat snooker kerana didapati tidak mengenakan pelitup wajah ketika sedang bertugas.

“Kejadian berlaku pada 4.10 petang apabila pasukan polis bertugas mendapati kedua-dua wanita ini sedang duduk di kaunter premis berkenaan,” katanya.



Muhamad Farid berkata, semua individu terbabit didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (No 8) 2020.

Katanya, semua mereka yang berusia lingkungan 17 hingga 38 tahun itu dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang.

Sehubungan itu, Muhamad Farid menasihatkan orang ramai supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha memutuskan rangkaian penularan pandemik Covid-19 di pulau berkenaan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker