BEBERAPA TAHUN LALU – SOO WINCCI DEDAH PERNAH MAKAN SISA MAKANAN PELAJAR LAIN

Sewaktu melanjutkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Sepanyol, beberapa tahun lalu, penyanyi Dr. Soo Wincci, 35, mendedahkan terpaksa makan sisa makanan pelajar lain disebabkan kekangan wang.

 

Wincci berkata, dia hampir putus asa meneruskan pengajiannya apatah lagi ramai menasihatkan dia pulang dan teruskan kerjaya sebagai artis di tanah air.

“Beberapa tahun lalu, apabila wang saya berbaki RM4.90 (1 Euro) di Sepanyol, saya tidak dapat pulang disebabkan isu visa yang ketat serta peraturan universiti. Terus-terang, setiap hari saya risau mengenai yuran pengajian, pinjaman hutang, kena marah, diketawakan dan markah universiti.

Klik untuk gambar besar

“Sambil mengisi perut dengan sisa makanan pelajar lain, saya hampir putus asa dan bertanya kenapa hidup orang lain senang. Sedangkan saya pada usia 33 ketika itu sangat bodoh kerana mahu bermula dari bawah semula,” katanya.

Bagaimanapun, graduan PhD dalam bidang Produksi Artistik di University of Polytechnic, Sepanyol itu nekad untuk terus menamatkan pengajian.

“Ramai menyuruh saya untuk balik saja dan teruskan menikmati populariti yang sudah diraih. Tapi, saya tetap berkeras mengejar impian, tidak beralah dan tiada sesalan untuk tempuh setiap dugaan,” ceritanya lagi.

Wincci memiliki ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Reading, United Kingdom berserta tiga sarjana lain iaitu Sarjana Pentadbiran Perniagaan (University of Sunshine Coast, Australia), Sarjana Produksi Muzik, Teknologi dan Inovasi (Berklee Valencia, Sepanyol) dan Sarjana Fellowship Live Music Production (Berklee Valencia, Sepanyol).

Wincci juga berjaya menggenggam PhD Pentadbiran Perniagaan di Universiti Terbuka Malaysia, sekali gus melakar kejayaan tersendiri apabila memperoleh lima ijazah berkenaan dalam tempoh 15 tahun.

Lebih membanggakan, juga Wincci mencipta rekod apabila menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai Most Number of Academic Degrees Obtained by A Beauty Queen dan Most Number of Academic Degrees Obtained by a Recording Artist.

www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Soo Wincci

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *