Jakarta bergolak, Jokowi masih diam

Pekerja dilihat membersihkan kemudahan awam yang dirosakkan atau terbakar ketika tunjuk perasaan membantah Undang-Undang Cipta Kerja di Jakarta, Indonesia. – Foto AFP

JAKARTA: Bantahan terhadap Undang-Undang Cipta Kerja menyaksikan ibu kota Indonesia terus bergolak hari ini dengan dianggarkan ribuan pekerja dan mahasiswa memenuhi jalan utama di sekitar Jakarta.

Sejak Isnin lalu, beberapa siri protes diadakan di seluruh negara sehingga ada penunjuk perasaan cedera berikutan bertempur dengan pasukan keselamatan.

Penunjuk perasaan menyasarkan beberapa kawasan utama termasuk Istana Presiden dan Kompleks Dewan Perwakilan Rakyat di Jakarta Pusat.

CNN Indonesia melaporkan, ratusan anggota keselamatan ditempatkan di sekitar Istana Presiden dan kawasan berhampiran.



Namun, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) difahamkan tidak berada di Istana Presiden kerana dalam rangka lawatan ke Palangkaraya, Kalimantan Tengah.

Anggota keselamatan dilihat bersedia dengan gas pemedih mata dan meriam air sekiranya tunjuk perasaan bertambah agresif selain pagar berduri diletakkan di kawasan tumpuan bagi mengelak kemasukan penunjuk perasaan.

Hari ini, Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, berkata beliau akan menemui Jokowi bagi menyampaikan tuntutan penunjuk perasaan supaya undang-undang itu dimansuhkan.

“Saya sudah menemui penunjuk perasaan dan mendengar bantahan mereka, yang akan akan saya bawa kepada Presiden,” katanya.



Selain beliau, Gabenor Kalimantan Barat, Sutarmidji dan tiga lagi gabenor wilayah dikatakan mahu berjumpa Jokowi bagi menyatakan pendirian golongan pekerja menentang Undang-Undang Cipta Kerja.

Jokowi juga dikritik hebat kerana sehingga kini masih mendiamkan diri berhubung siri protes yang diadakan di seluruh negara membantah pelaksanaan undang-undang itu.

Dalam pada itu, kawalan ketat juga dilakukan di Kompleks Dewan Perwakilan Rakyat dengan beberapa jalan utama ditutup.

Selain itu, polis turut mengarahkan konvoi bermotor dari Bekasi menuju ke Jakarta untuk pulang semula ke tempat masing-masing.

Konvoi itu dipercayai ingin menyertai demonstrasi membantah Undang-Undang Cipta Kerja yang diadakan secara besar-besaran di bandar raya ini.

Undang-undang baharu yang diluluskan Parlimen Indonesia Isnin lalu itu dianggap penting untuk menarik pelabur asing dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi membantu negara susulan krisis dicetuskan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, majoriti membantah undang-undang omnibus itu dilaksanakan kerana didakwa menafikan banyak faedah serta kepentingan untuk golongan pekerja.

Antara lain, undang-undang baharu itu membenarkan syarikat menggaji pekerja secara kontrak terbuka atau tanpa sebarang tempoh khusus tetapi memberikan perlindungan insurans bagi pekerja sektor awam.

Menurut pengkritik, ia menggalakkan pengambilan pekerja secara tidak rasmi dan melemahkan hak asasi mereka selain didakwa mengurangkan aspek perlindungan alam sekitar. – AGENSI

Jakarta bergolak, Jokowi masih diam

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker