Polis tahan suspek kes tikam pengawal keselamatan

Kedai runcit yang juga lokasi kejadian bunuh di sebuah perumahan awam di Jalan Cheras Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes bunuh seorang pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan awam di Cheras, di sini, semalam.

Suspek berusia 41 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan di sebuah kawasan perumahan awam berhampiran, kira-kira jam 8 malam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan ugutan jenayah.

“Semakan turut mendapati suspek mempunyai tujuh rekod penyalahgunaan dadah namun keputusan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati negatif,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.



Semalam, BH melaporkan pertengkaran dipercayai menjadi punca kematian pengawal keselamatan berusia 52 tahun itu yang pada mulanya dilihat oleh saksi bertengkar dengan seorang lelaki lain.

Mangsa ditemui orang awam dalam keadaan terbaring dengan kesan tikaman pada tubuhnya dipercayai ditikam dengan objek tajam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Katanya lagi, buat masa ini motif pembunuhan masih dalam siasatan dan suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 15 Oktober ini untuk membantu siasatan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button