SPRM panggil sembilan pegawai kanan polis bantu siasatan

SPRM dilaporkan menumpukan individu dan syarikat dikenal pasti terbabit sindiket pengubahan wang haram.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sembilan pegawai kanan polis dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pembabitan dalam sindiket perjudian dalam talian dan penipuan (scam).

Sumber berkata, tiada tangkapan dibuat SPRM setakat ini dan suruhanjaya itu masih dalam proses mengumpul keterangan.

“Sebanyak 736 akaun dibekukan membabitkan penyitaan berjumlah lebih kurang RM101 juta. Dua suspek utama kes ini akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi disambung reman esok,” katanya kepada BH, hari ini.

Pada Sabtu dan Ahad lalu, beberapa pegawai kanan polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini ditahan SPRM bagi membantu siasatan.

Mereka ditahan dan dipanggil untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan melindungi aktiviti kegiatan perjudian dalam talian yang dikendalikan oleh kartel tempatan sehingga terbabit dalam pengubahan wang haram.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan 20 individu berdasarkan siasatan ke atas kes pengubahan wang haram membabitkan seorang lelaki bergelar ‘Datuk’.

Sumber berkata, ketika ini sebanyak 39 saksi dirakam percakapan dan 19 orang ditahan.

“Daripada jumlah yang ditahan, sembilan orang masih direman,” katanya.

Mengulas lanjut, sumber berkata, gerakan mengesan saki-baki sindiket ini ditumpukan kepada agensi penguatkuasaan yang terbabit.

“Fasa seterusnya ialah memberi fokus kepada individu atau syarikat yang dikenal pasti terbabit dalam pengubahan wang haram.

“Seperti ditegaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM, pihak yang terbabit diminta tampil ke SPRM bagi membantu siasatan sebelum tindakan tegas diambil terhadap mereka.

“SPRM memberi masa selewat-lewatnya sehingga Isnin ini untuk mereka menyerah diri,” katanya.

Sumber itu berkata, individu dan syarikat yang dibekukan akaun bank mereka juga wajar tampil untuk memberi keterangan dan tidak menunggu sehingga tindakan susulan diambil terhadap mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *