Zamburger cari jurulatih baharu

Pemain Kelantan meraikan kejayaan menewaskan JDT II sekali gus layak ke saingan Piala Malaysia malam tadi.

JOHOR BAHRU: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mengesahkan akan berusaha mendapatkan ketua jurulatih baharu bagi membimbing pasukan itu mengharungi kempen Liga Perdana musim depan.

Norizam yang terkenal dengan julukan Zamsaham atau Zamburger menegaskan kelibat pengendali skuad The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah masih bersama pasukan itu dan akan bergandingan dengan ketua jurulatih yang baharu.

“Kita akan ambil jurulatih baharu dan akan digandingkan bersama Yusri (Che Lah). Itu lebih penting untuk memantapkan lagi barisan kejurulatihan. Belum pasti lagi sama ada jurulatih import atau tempatan dan bila tiba masanya nanti saya akan umumkan,” katanya.

Dia berkata demikian selepas menyaksikan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menentang Kelantan FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam kelmarin yang menyaksikan anak buah Yusri menang 1-0 sekali gus layak beraksi di Piala Malaysia.

Mengulas berhubung prestasi skuad itu dalam saingan liga, Norizam tampak berpuas hati dengan prestasi pemain sedia ada walaupun dibarisi pemain muda yang menunjukkan komitmen tinggi dalam setiap perlawanan.

Malah, katanya komitmen dan semangat berpasukan yang ditunjukkan setiap pemain walaupun skuad TRW tidak dibarisi pemain berstatus bintang namun kesungguhan mereka yang mahu mencari kemenangan amat membanggakan.

“Selepas saya masuk dalam Kelantan FC, banyak perubahan berlaku dalam pasukan. Kita lihat sendiri daripada tiga mata dan dalam keadaan bergelut di dasar liga, mereka berjaya keluar daripada kelompok bawahan untuk meraih 12 mata,” katanya.

Norizam juga mengakui Kelantan FC yang akan bersaing dalam kancah Piala Malaysia tidak perlu takut menentang pasukan yang hebat terutama pasukan yang berada dalam saingan Liga Super.

“Bola itu bulat. Saya harap bola itu menyebelahi Kelantan FC. Apapun kita tidak mengaku kalah sebaliknya tetap akan beri saingan kepada mana-mana pasukan yang diundi akan menentang pasukan saya,” kata Norizam.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker