13 pegawai kanan polis dipanggil beri keterangan dalam kes ‘cuci duit’

KUALA LUMPUR, 10 Okt — Seramai 13 pegawai kanan polis dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.

Sumber SPRM berkata dua daripada mereka adalah ketua jabatan dan timbalan ketua jabatan di sebuah kontinjen polis negeri, masing-masing berpangkat ACP.

“Tiga lagi pegawai kanan ialah ketua polis daerah yang dua daripada mereka berpangkat ACP manakala seorang lagi berpangkat Superintenden.



“Selain itu, lapan lagi pegawai polis dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata pihaknya telah memulakan siasatan dalaman melibatkan pelbagai aspek terhadap semua pegawai dan anggota yang ditahan.

Kesemua pegawai dan anggota polis terbabit disyaki menyalah guna kuasa melindungi sindiket itu serta menerima habuan dalam bentuk wang ringgit dan lain-lain.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengarahkan siasatan terperinci dilakukan susulan pendedahan kes sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram sehingga tertangkapnya beberapa anggota polis termasuk pegawai kanan.



Pada 8 Okt lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya mengesan ratusan syarikat dami yang diwujudkan bagi mengaburi pihak berkuasa berhubung sindiket berkenaan.

SPRM turut menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porsche serta beberapa motosikal berkuasa tinggi dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram.

Sebelum ini, SPRM memanggil pasangan artis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram terbabit.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button