42 dikompaun, polis serbu pesta hari jadi, temui dadah di inap desa

 

GEORGETOWN: Seramai 42 individu ditahan polis kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika berhibur, meraikan sambutan hari jadi di sebuah inap desa dekat Batu Ferringhi di sini, malam tadi.

Mereka diperiksa dalam Op Pemantauan dan Pematuhan SOP PKPP oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dalam pemeriksaan selepas jam 10 malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 34 lelaki dan lapan perempuan, yang berusia antara 20 hingga 40 tahun.



Katanya, pemeriksaan di rumah itu telah menemukan dadah jenis ketamin seberat 1.40 gram.

“Ujian saringan air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, manakala 17 daripada mereka mempunyai rekod dadah dan jenayah lampau.

“MBPP turut mengeluarkan kompaun kepada pemilik rumah itu kerana menjalankan perniagaan inap desa tanpa lesen,” katanya di sini, hari ini.

Selain dikompaun mengikut Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, empat daripadanya membabitkan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan satu lagi Seksyen 12(3) akta yang sama.



Mengulas lanjut, Soffian berkata, operasi terbabit turut memeriksa 16 gerai pasar malam dan didapati kesemuanya mematuhi SOP yang ditetapkan.

Daripada enam premis perniagaan yang diperiksa, sebanyak empat daripadanya dikenakan kompaun oleh KKM kerana tidak patuh SOP kebersihan.

“MBPP turut mengeluarkan satu lagi kompaun terhadap pemilik rumah kerana menjalankan perniagaan inap desa tanpa lesen.

“Pemilik premis yang menjalankan aktiviti inap desa perlu mendapatkan kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta tidak menjadikan premis sewaan mereka sebagai tempat ‘hiburan persendirian’ sehingga menyukarkan penjarakan sosial atau mengganggu ketenteraman penghuni lain,” katanya.



KFA tolak peletakan jawatan Muhammad Sanusi sebagai presiden



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button