GP Perancis: Quartararo mula dari petak pertama buat kali ketiga
KUALA LUMPUR, 10 Okt — Pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Fabio Quartararo, meningkatkan peluangnya untuk terus mendahului kedudukan keseluruhan Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP), selepas menduduki petak pertama pada sesi ujian masa GP Perancis di Litar Le Mans di sini hari ini.
Pelumba dari Perancis berusia 21 tahun yang mendahului kedudukan keseluruhan dengan 108 mata selepas sembilan perlumbaan, mencatatkan masa terpantas 1 minit 31.315 saat (s) diikuti pelumba pasukan Pramac Racing Jack Miller, di tempat kedua (1:31.537s), manakala pelumba pasukan Ducati Danilo Petrucci dari Itali, dipetak ketiga (1:31.167s).
“Tentu sekali perasaan gembira (untuk menduduki petak pertama) kerana keadaan yang amat sukar. Kami bekerja dengan baik sekali. Semalam, saya yakin kerana saya tahu di mana perlu diperbaiki, mengambil risiko yang perlu, untuk hari ini.
“Saya gembira untuk mulakan dari barisan hadapan, ada dua motosikal Ducati di barisan hadapan, kami akan bergelut sedikit, tetapi saya gembira dan saya rasa kami mempunyai keupayaan untuk menang,” kata Quartararo hari ini yang sebelum ini menduduki petak pertama di GP Sepanyol dan GP Andalusia di Litar Jerez pada Julai.
Rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli dari Itali akan memulakan perlumbaan esok pada barisan keempat, selepas menamatkan sesi ujian pada kedudukan 11 terbaik dengan catatan masa 1 minit 31.891s.
Kategori Moto2 pula menyaksikan pelumba Petronas Sprinta Racing – Xavi Vierge dan Jake Dixon masing-masing menduduki tempat ketujuh dan kelapan terpantas, dengan masa 1:36.737s dan 1:36.826s.
Sementara itu pelumba Moto3 Petronas Sprinta Racing John McPhee akan memulakan perlumbaan esok di barisan hadapan, selepas mencatatkan masa ketiga terpantas 1 minit 41.846s, manakala rakan sepasukan Khairul Idham Pawi di tempat ke-28 (1:43.640s).