Jangan mudah terjerat helah Macau Scam

BARU-BARU ini media melaporkan penahanan beberapa individu, termasuk pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait kes pengubahan wang haram hasil kegiatan judi dalam talian dan Macau Scam.

SPRM turut membekukan 730 akaun bank berjumlah RM80 juta dan merampas kira-kira RM5 juta kerana disyaki terbabit sindiket itu.

Berdasarkan statistik 2018, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) melaporkan kerugian akibat penipuan Macau Scam meningkat 55.5 peratus berbanding 2017. Ia membabitkan kerugian lebih RM224.6 juta dengan 4,965 kes direkodkan berbanding tahun sebelumnya.

Realitinya, penipuan Macau Scam semakin menjadi-jadi memandangkan masih ramai tidak faham taktik dan strategi penipuan digunakan. Jenayah ini akan terus berlaku jika orang ramai masih leka atau bersikap tamak untuk menjadi kaya tanpa berusaha keras.

Secara ringkas, sindiket Macau Scam menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti cabutan bertuah, tipu culik dan minta wang tebusan, spoofing pegawai polis atau agensi kerajaan, pegawai bank negara atau bank komersial.

Spoofing adalah teknik di mana pemanggil berkomunikasi menggunakan platform Suara Melalui Protokol Internet (VoIP) bagi membolehkan pemanggil meletakkan sebarang nombor telefon untuk memperdaya penerima kononnya pemanggil adalah daripada nombor telefon yang tertera pada skrin telefon.

Modus operandi digunakan menyamar pegawai polis, mahkamah, Bank Negara Malaysia (BNM), SPRM atau agensi tertentu dalam usaha menakutkan mangsa supaya terjebak.

Mengambil kira modus operandi semakin canggih, keupayaan pihak berkuasa juga perlu dipertingkat untuk memantau dan menguatkuasakan undang-undang.

Mekanisme Suruhanjaya Syarikat Malaysia dengan Akta 778 yang dikuatkuasakan Januari 2017 berkaitan mengawal selia aktiviti pengumpulan dana melalui tawaran kepentingan kepada awam juga perlu diperkukuh dan diperhebat sebagai usaha memastikan penipuan berleluasa dapat dibanteras dan dihentikan segera.

Jika didekati dan diperkenalkan sesuatu skim menjanjikan pulangan bulan dan bintang, ia menunjukkan unsur pelanggaran Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Jenayah pengubahan wang haram biasanya dikaitkan pelbagai kesalahan.

Antaranya menipu, rasuah atau merompak bank, di mana wang diperoleh dengan cara ini perlu ‘dicuci’ supaya terus dapat digunakan. Kaedah untuk mencuci wang haram ini adalah dengan menubuhkan perniagaan.

Berdasarkan laporan media, sindiket menggunakan ejen di Malaysia untuk menguruskan pelaburan dengan mencari perniagaan berpotensi sebagai platform membersihkan wang hasil penipuan.

Terkini, sindiket mendekati selebriti dan menyatakan minat melabur dalam perniagaan atau menyuntik modal untuk golongan ini mulakan perniagaan.

Dakwaan menyatakan kegiatan dilindungi polis, termasuk pegawai atasan yang menerima habuan daripada sindiket antara penyebab Macau Scam sukar dibendung dan keuntungan haram diperoleh mudah dicuci.

Terkini, SPRM menyiasat sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang disyaki ‘mencuci’ ratusan juta ringgit diraih daripada kegiatan mereka dalam perniagaan dan ada diusahakan selebriti terkenal tempatan.

Kita harus berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah sebegini. Usahlah cepat panik dan mengikut arahan diberikan pemanggil, tanpa terlebih dahulu menghubungi polis atau institusi kewangan terbabit.

Tenangkan dahulu diri anda. Usah hubungi semula nombor telefon yang anda terima. Sebaliknya dapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi terbabit untuk pengesahan lanjut.

Jangan sekali-kali dedahkan nombor akaun bank, nombor kad mesin juruwang automatik (ATM) atau kad kredit anda kepada orang tidak dikenali. Paling penting rujuk laman sesawang rasmi BNM untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan.

Jika ada maklumat berkenaan Macau Scam, usah teragak-agak hubungi SPRM untuk membantu. Keselamatan sebagai pemberi maklumat dijamin sepenuhnya mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Marilah kita bersama-sama memastikan Malaysia bebas daripada Macau Scam ini. Biar Malaysia maju dengan usaha dan kerja keras kita.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Kewangan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pasir Gudang

KFA tolak peletakan jawatan Muhammad Sanusi sebagai presiden

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker