Media Usah Keluar Berita Cetus Panik – Najib
KUALA LUMPUR, 11 Okt – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap media tidak lagi mengeluarkan berita yang mampu mencetuskan panik berhubung penularan COVID-19 khususnya terhadap sektor kesihatan sepertimana berita mengenai Wad Unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu.
Sedangkan menurut beliau Wad unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu tak lumpuh seperti dilaporkan Malaysiakini walaupun ada jururawat yang dikuarantinkan.
‘’Sebelum ini, Mkini melaporkan seramai 40 daripada 66 jururawat yang menjaga wad ICU terbabit kini terpaksa dikuarantin setelah sekurang-kurangnya seorang kakitangan disahkan positif Covid-19.
‘’Bagaimanapun sejak dua hari lepas, seramai 475 frontliner Kementerian Kesihatan telah dihantar ke Sabah dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia untuk memperkasakan usaha merawat pesakit Covid,’’ katanya menerusi catatan di facebook beliau.
Najib seterusnya menambah sejak bulan September lepas sehingga hari ini, 155 frontliners hospital di Sabah sudah dijangkit Covid dan sehingga kini, seramai 579 frontliners kementerian kesihatan telah disahkan positif Covid sejak wabak Covid melanda pada bulan Januari 2020 lalu.
‘’Ini adalah bahaya yang dihadapi front-liner setiap hari semasa memberikan perkhidmatan asas dan kritikal kepada komuniti. Kegigihan, semangat kental dan daya juang pasukan petugas barisan hadapan tiada bandingan!
‘’Sama-sama kita doakan frontliners yang sudah terjangkit dan semua pesakit yang dijaga mereka akan sembuh sepenuhya secepat mungkin. Semoga mereka dipermudahkan segala urusan dan diberi kesihatan,’’ ujarnya. – UMNO Online
Posting asal Datuk Seri Najib :: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157414777335952/