18 maut, 44 cedera, kereta api dan bas bertembung di Thailand

BANGKOK, 11 Okt  — Sejumlah 18 orang terbunuh manakala 44 lagi cedera, apabila sebuah kereta api barang bertembung dengan sebuah bas persiaran di Wilayah Chachoengsao, kira-kira 50 kilometer timur Bangkok hari ini.

Gabenor Jabatan Kereta Api Thailand (SRT) Nirut Maneephan mengesahkan jumlah mereka yang maut.

“Daripada 44 yang cedera, 31 telah menerima rawatan dan didiscaj daripada hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada kejadian kira-kira jam 8 pagi (waktu tempatan) di lintasan kereta api berhampiran stesen Kereta Api Khlong Khwaeng Klan di Wilayah Chachoengsao itu, kereta api dari arah Laem Chabang di Rayong, telah bertembung dengan sebuah bas membawa 60 penumpang yang dalam perjalanan dari Samut Prakan ke sebuah kuil di Chachoengsao untuk menghadiri satu upacara keagamaan.



Gabenor Chachoengsao Maitree Traitilanan berkata, kejadian itu berlaku ketika bas itu sedang menyeberangi lintasan tersebut.

“Siasatan awal mendapati, walaupun kereta api itu telah membunyikan honnya, namun bas tersebut terus melintas landasan kereta api, kerana ketiadaan penghadang. Kereta api itu kemudiannya merempuh bas.

Maitree berkata, pihak polis masih menyiasat punca kejadian tersebut.

Mereka yang cedera telah dihantar ke hospital berdekatan.



Media tempatan melaporkan mayat-mayat bergelimpangan, manakala ada yang terperangkap di dalam bas, dan barangan milik penumpang bas berselerakan.

Sementara itu Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha menyampaikan ucapan takziah kepada anggota keluarga yang maut dan cedera dalam kemalangan tersebut.

Dalam pada itu, seorang jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata, Perdana Menteri telah mengarahkan Gebenor Chachoengsao dan pihak berkuasa berkaitan untuk memberikan bantuan segera kepada anggota keluarga semua mangsa.

— BERNAMA



Timbalan pendakwa raya direman 6 hari

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button