China sokong Indonesia jadi hab vaksin Asia Tenggara
JAKARTA: Menteri Menyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia, Luhut Pandjaitan, berkata China menyokong usaha Jakarta untuk menjadi pusat pengeluaran vaksin di Asia Tenggara selepas bertemu dengan Menteri Luar China, Wang Yi.
Pandjaitan dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan itu berkata, Wang menyifatkan Indonesia mempunyai keupayaan yang kuat untuk pengeluaran vaksin di Asia Tenggara dan akan menyokong syarikat China untuk meningkatkan kerjasama antara dua negara.
Dalam pada itu, sukarelawan di Bandung, ibu kota wilayah Jawa Barat, juga sudah mengambil bahagian dalam ujian vaksin yang dikembangkan oleh Sinovac Biotech dari China.
Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu juga sedang berusaha menghasilkan vaksinnya sendiri yang dikenali Merah Putih untuk memastikan vaksin itu mencukupi untuk 270 juta penduduknya.
Malah, kedua-dua menteri itu juga berbincang membangunkan tiga zon industri di wilayah Bintan, Batang dan Semarang di Indonesia dengan penyertaan universiti China dalam penyelidikan perubatan herba di Sumatera Utara.
Pandjaitan juga memohon kepada Wang supaya China berkongsi pengalamannya dalam usaha membasmi kemiskinan. – BLOOMBERG