COVID-19: Jakarta longgarkan sekatan mulai esok
JAKARTA: Gabenor Jakarta, Anies Baswedan mula melonggarkan sekatan sosial dalam skala besar (PSBB) di ibu kota dan melaksanakan satu lagi fasa peralihan mulai esok ketika wabak COVID-19 masih lagi mencatatkan angka 1,000 kes sehari.
“Kami melaksanakan dasar kecemasan segera (PSBB) kira-kira sebulan lalu berikutan jumlah kes jangkitan meningkat di luar kawalan kami.
“Selepas angka jangkitan kembali stabil, kita melonggarkan sedikit demi sedikit PSBB,” kata Anies dalam kenyataan bertulisnya.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan jumlah jangkitan harian, purata kematian dan trend kes aktif yang semakin reda serta peningkatan kapasiti pesakit di hospital.
Antara 29 Ogos hingga 11 September, Jakarta mencatatkan 14,155 kes positif baharu iaitu 37.09 peratus peningkatan daripada dua minggu lalu, manakala dari 11 hingga 25 September, sebanyak 16,606 kes positif dan 25 September hingga 9 Oktober mencatatkan 15,437 kes jangkitan.
Ketika tempoh peralihan sehingga 25 Oktober ini, 11 industri penting termasuklah kesihatan, makanan, tenaga, komunikasi, kewangan, logistik dan rantaian bekalan keperluan akan dibenarkan beroperasi sepenuhnya, manakala industri tidak berkepentingan dibenarkan sehingga 50 peratus pekerja berada di premis.
Restoran dibenarkan buka dengan hanya 50 peratus kapasiti pelanggan menjamu selera dan rumah ibadat juga dibenarkan dibuka.
Anies berkata, ketika tempoh PSBB itu, perniagaan digalakkan untuk mencatat rekod pelanggan seperti nama, nombor telefon, kad identiti dan masa bagi memudahkan mengesan jika positif COVID-19.
Data itu mesti diserahkan kepada pentadbiran Jakarta secara berkala dan perniagaan mesti menyediakan rancangan keselamatan COVID-19 dengan protokol lebih lanjut yang akan diatur oleh agensi bandar berkenaan.
“Setiap penduduk bertanggungjawab untuk mengambil bahagian dalam usaha mencegah penularan COVID-19. Jika satu tempat tidak berdisiplin, seluruh kota akan menanggung akibatnya,” katanya. – AGENSI
PKPD Dilaksana Taman Khazanah Indah Dan PPR Mutiara Kasih – Ismail Sabri