JDT beri ‘kerja rumah’ kepada Zainal
MELAKA: Jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan mengakui perlu melakukan lebih banyak `kerja rumah’ bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang bermula 25 Oktober ini.
Ia selepas skuad kendaliannya dibelasah 5-0 oleh juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi terakhir kempen musim ini di Stadium Hang Jebat Paya Rumput, malam tadi.
Menurutnya, jaringan pertama pelawat menerusi sepakan penalti pada minit ke-70 jelas menjejaskan tumpuan pemain yang sebelum itu berjaya mengekang dan menyaingi anak buah Benjamin Mora.
“Pemain beraksi dengan begitu baik sehingga minit ke-70 perlawanan. Bagaimanapun, keputusan penalti membunuh semangat pemain sehingga dibolosi lima gol dalam 20 minit terakhir.
“Saya akui pemain amat kecewa dengan keputusan sepakan penalti namun sepatutnya mereka perlu membuang segera perasaan itu untuk meneruskan corak persembahan yang konsisten,” katanya selepas perlawanan.
Justeru, Zainal menuntut pemain menjaga emosi masing-masing pada saingan Piala Malaysia bagi mengelakkan situasi sama berulang.
“Saya akan gunakan tempoh dua minggu sebelum saingan berprestij itu untuk memantapkan mental pemain selain memperbaiki kelemahan supaya kita mampu pergi lebih jauh pada saingan Piala Malaysia,” katanya.
PKPD Dilaksana Taman Khazanah Indah Dan PPR Mutiara Kasih – Ismail Sabri