NATO beli ratusan ribu peluru meriam RM5.68 bilion

Oleh – Syeikh Baran


NATO beli ratusan ribu peluru meriam RM5.68 bilion
TENTERA Ukraine melepaskan bedilan artileri ke arah kedudukan Russia di rantau Donetsk pada 20 Januari lalu. — AFP

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menandatangani kontrak bernilai AS$1.2 bilion (RM5.68 bilion) untuk membeli beratus-ratus ribu peluru bagi menggantikan peluru yang dihantar Ukraine, kata NATO kelmarin.

Seorang pegawai NATO berkata, perjanjian itu merangkumi 220,000 peluru meriam 155 mi­limeter yang akan dihantar menjelang akhir 2025.

Menurutnya, pembeli peluru artileri itu ialah Belgium, Lithua­nia dan Sepanyol, manakala pembekal senjata yang terlibat termasuk firma Jerman, Junghans Microtec serta Nexter dari Perancis.

Sebahagian besar peluru meriam itu akan digunakan untuk memenuhi semula stok di Belgium, Lithuania dan Sepanyol dan selebihnya akan dihantar secara terus ke Ukraine.

“Perang Russia di Ukraine menjadi perang untuk peluru. Justeru, adalah penting bagi sekutu-sekutu (NATO) mengisi semula stok mereka ketika kami terus menyokong Ukraine,” kata Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg.

Bagaimanapun, 220,000 peluru meriam itu jauh lebih kecil berbanding jumlah yang telah dihantar ke Ukraine oleh negara-negara anggota NATO.

Amerika Syarikat (AS) sahaja membekalkan Kiev dengan sepuluh kali ganda jumlah tersebut.

Sekiranya tentera Ukraine melepaskan tembakan artileri sebagaimana yang dilakukan oleh tentera Russia, Kiev akan kehabisan 220,000 peluru meriam itu dalam tempoh kurang tiga minggu, demikian menurut anggaran Institut Perkhidmatan Diraja Bersatu Britain.

Tentera Ukraine mengalami krisis peluru sejak se­kurang-kurangnya Februari 2023.

Menteri Pertahanan Ukraine, Rustem Umerov pada minggu lalu mengenal pasti kekurangan tersebut sebagai ‘masalah yang sangat nyata dan mendesak’ untuk tenteranya.

Barat telah berusaha untuk mengatasi masalah itu. Kilang-kilang di AS pada masa ini menghasilkan sekitar 28,000 peluru 155 milimeter sebulan, manakala Pentagon merancang untuk ­meningkatkan jumlah itu hampir empat kali ganda menjelang tahun depan. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker