Seorang lagi maut dalam serangan tentera Armenia

Beberapa pekerja sedang membaiki bekalan elektrik sebuah rumah yang musnah dalam kejadian letupan di bandar
Beberapa pekerja sedang membaiki bekalan elektrik sebuah rumah yang musnah dalam kejadian letupan di bandar

BAKU: Seorang terbunuh di Azerbaijan, hari ini dalam serangan didalangi tentera Armenia, walaupun perjanjian gencatan senjata sudah dimeterai.

Menerusi kenyataan, pihak pendakwa Azerbaijan berkata, penduduk di Chemenli dan Zengishali, di wilayah Agdam dibedil tembakan senjata api oleh Pasukan Tentera Armenia, kira-kira jam 7 malam (waktu tempatan), lapor agensi berita Anadolu.

Gunduz Huseynov, 46, dilaporkan meninggal dunia ketika serangan itu, sekali gus menjadikan mereka yang terkorban susulan serangan Armenia, dalam tempoh dua minggu lalu, meningkat kepada 32 orang.

Gencatan senjata atas asas kemanusiaan pada awalnya dimeterai dan berkuat kuasa pada jam 12 tengah hari (waktu tempatan) bagi memberi laluan kepada proses pertukaran banduan serta usaha mengambil semula mayat di wilayah bergolak, Nagorno-Karabakh.



Perjanjian damai itu terhasil susulan mesyuarat yang diadakan di Moscow, Russia, semalam antara Menteri Luar Rusia, Azerbaijan dan Armenia.

Armenia dan Azerbaijan sebelum ini bersetuju melaksanakan gencatan senjata dan memulakan ‘rundingan substantif’ berhubung kemelut Nagorno-Karabakh, selepas pertempuran sengit berlarutan hampir dua minggu yang meragut ratusan nyawa, manakala ribuan lagi terpaksa lari menyelamatkan diri, sekali gus mencetuskan kebimbangan akan berlakunya peperangan.

Namun, gencatan senjata yang diusahakan Moscow sebagai perantara, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov mengumumkan kedua-dua pihak terbabit bersetuju melaksanakan gencatan senjata ‘bermula tengah hari 10 Oktober atas dasar kemanusiaan’, dilihat gagal apabila kedua-dua pihak saling menuding jari di sebalik beberapa letupan di wilayah berkenaan.

Pertelagahan terbaru sejak 27 September lalu adalah yang terburuk selepas peperangan pada 1990-an, dengan 450 orang dilaporkan terkorban, manakala ribuan lagi mengambil keputusan untuk meninggalkan kediaman mereka kerana khuatir konflik berkenaan akan berpanjangan. – AGENSI



Idris Jusoh Buat Laporan Polis Nafi Sokong Anwar



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button