‘Kami belum kalah’: Mahasiswa bantah Undang-Undang Cipta Kerja

Aktivis berhimpun di Jakarta ketika mengambil bahagian pada hari terakhir demonstrasi terhadap Undang-Undang Cipta yang diluluskan baru-baru ini. - Foto AFP
Aktivis berhimpun di Jakarta ketika mengambil bahagian pada hari terakhir demonstrasi terhadap Undang-Undang Cipta yang diluluskan baru-baru ini. – Foto AFP

JAKARTA: Persatuan Badan Eksekutif Mahasiswa Universiti Kebangsaan (BEM-SI) akan terus membantah Undang-Undang Cipta Kerja yang baharu diluluskan, meskipun dihujani pelbagai tekanan daripada kerajaan.

Penyelaras Kumpulan BEM-SI, Remy Hastian, berkata Kerajaan Indonesia harus bertanggungjawab terhadap dakwaan sebelum ini, kononnya bantahan yang disuarakan itu mencetuskan kekeliruan terhadap inti pati yang terkandung dalam perundangan itu.

Beliau menyifatkan dakwaan sedemikian adalah tidak berasas, memandangkan Dewan Perwakilan dan kerajaan gagal mendedahkan draf akhir perundangan itu untuk penelitian umum, sebelum dibahas serta diluluskan.

“Dakwaan sebegitu boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan orang ramai kerana ia (menuduh) pengkritik yang didorong oleh salah faham.

“Dalam hal ini, kerajaan adalah penipu sebenar kerana menidakkan hak rakyat untuk mendapatkan sebarang maklumat mengenai draf akhir perundangan itu,” katanya.

Dewan Perwakilan dan kerajaan meluluskan usul berkenaan untuk dijadikan perundangan pada 5 Oktober lalu, dalam keadaan tergesa-gesa yang disifatkan pengkritik sebagai tidak sah.

Sehingga sekarang, beberapa versi draf undang-undang itu ditularkan, namun pihak berkuasa tidak memberikan sebarang perincian mengenai draf terakhir yang diluluskan ketika sesi Dewan Plenari.

Mengulas lanjut, Remy menempelak tindakan kerajaan dalam mempertikai dan ‘menutup mulut’ mahasiswa yang menyatakan bantahan, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada hak rakyat berasaskan prinsip kebebasan berucap, selari Perlembagaan 1945.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan mahasiswa dan masyarakat untuk terus menyatakan desakan bagi memansuhkan undang-undang baharu berkenaan, selain menghormati aspirasi rakyat.

“Kami belum kalah lagi. Kami akan terus menyuarakan bantahan sehingga Presiden mengeluarkan arahan supaya menarik balik undang-undang baharu ini,” katanya.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), sebelum ini dihujani kritikan dan bantahan pelbagai pihak kerana mendakwa bantahan yang disuarakan terhadap perundangan itu adalah sekadar salah faham, selain khabar angin di media sosial.

Jokowi, pada Jumaat lalu, dilaporkan berkata pelbagai tuduhan seperti undang-undang itu mengetepikan hak pekerja untuk mengambil cuti dan mendapat jaminan sosial, termasuk manfaat persaraan adalah tidak tepat.

Pada hari sama, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Budaya, mengeluarkan pekeliling yang menggesa supaya penuntut universiti tidak menyertai sebarang demonstrasi, malah mengarahkan ahli fakulti mempromosikan undang-undang itu. – AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker