KUFC mahu beri cabaran sengit pada Piala Malaysia

Pemain Kelantan United, Selwan Sinan Chasib Al Jaberi (kiri) beraksi pada saingan Liga Premier musim ini. Pasukan berkenaan kini akan mengharungi pula aksi Piala Malaysia. -  BERNAMA
Pemain Kelantan United, Selwan Sinan Chasib Al Jaberi (kiri) beraksi pada saingan Liga Premier musim ini. Pasukan berkenaan kini akan mengharungi pula aksi Piala Malaysia. – BERNAMA

KOTA BHARU: Kelantan United (KUFC) perlu menggunakan peluang penampilan pertama dalam cabaran Piala Malaysia musim ini sebaik mungkin dengan membuktikan kemampuan dan menonjolkan diri di pentas bola sepak negara.

Pengurus pasukan, Rozi Muhamad berkata walaupun KUFC pasukan baharu yang berjaya melayakkan diri ke saingan piala itu, beliau tidak mahu pemain terlalu merendah diri apabila bertemu pasukan yang lebih berpengalaman.

“Pemain perlu membuktikan kemampuan yang dimiliki pasukan…dalam bola sepak apa saja boleh berlaku asalkan pemain memberi tumpuan, semangat dan disiplin yang tinggi untuk memperoleh kemenangan setiap kali turun beraksi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

KUFC antara lima pasukan daripada Liga Premier yang layak beraksi pada saingan Piala Malaysia yang dijangka memulakan sepak mula pada 25 atau 26 Okt ini.



Selain KUFC, satu lagi wakil dari negeri ini iaitu Kelantan FC turut layak beraksi pada cabaran piala itu.

Rozi berkata, beliau percaya skuad kendalian Nazrulerwan Makmor itu akan tampil dengan semangat berbeza dan dapat memberi laluan sukar kepada pihak lawan selain berharap KUFC dapat beraksi sejauh mungkin pada cabaran Piala Malaysia.

Format pertandingan Piala Malaysia 2020 dirombak susulan COVID-19 iaitu tiada saingan peringkat kumpulan dan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.

Sebanyak 11 pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier yang layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah. – BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button