PGA7 rampas barangan bernilai lebih RM7 juta sejak ambil alih Op Benteng pada 14 Sept

PASIR MAS, 13 Okt — Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) mencatat sejumlah 108 kes dengan nilai rampasan lebih RM7 juta sejak mengambil alih penugasan Op Benteng Covid daripada Batalion Ke-8 pada 14 Sept lepas.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintenden Azhari Nusi berkata kesemua kes yang dicatat melibatkan aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan antara Malaysia-Thailand.

Beliau berkata antara rampasan terbesar adalah melibatkan rokok bernilai RM1.47 juta di Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat dan sejumlah 101 ekor haiwan ternakan bernilai RM606,000 di Kampung Meranti, Pasir Mas.

Beliau berkata bagi memperketat kawalan sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Kelantan, PGA7 telah melaksanakan kawalan di beberapa pangkalan haram yang dikategorikan sebagai lokasi panas.



“Antara lokasi yang diperketatkan kawalan ialah pangkalan haram Lubok (Rantau Panjang), Jitong (Jeram Perdah), Jeram Perdah I (Jeram Perdah) dan Kebun (Pengkalan Kubor).

Tujuan kawalan diperketat ialah bagi memastikan tiada pembolosan pendatang haram yang berpotensi menyebabkan penularan pandemik COVID-19 di negara ini meningkat,” katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Setol di sini hari ini.

Beliau berkata PGA7 juga menambah jumlah anggota pasukan itu dari 400 kepada 430 bagi penugasan Op Benteng Covid, yang menyebabkan kes kemasukan pendatang haram berkurangan secara mendadak.

“Sepanjang tempoh penugasan, PGA7 yang turut dibantu oleh PGA9 telah berjaya menangkap seramai 57 pendatang haram yang terdiri daripada warganegara Thailand (24 lelaki, 14 wanita), Myanmar (1 lelaki),  Kemboja (7 lelaki, 7 perempuan) dan Pakistan (4 lelaki),” katanya sambil menambah tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan yang bertindak sebagai tekong darat turut ditahan.



Azhari juga berkata pihaknya berjaya merampas 111 kilogram daun ketum bernilai RM3,330 di Kampung Jedok, Tanah Merah pada 9 malam tadi yang disembunyikan di dalam semak dan sebuah bangsal dipercayai untuk diseludup ke negara jiran susulan permintaan yang tinggi di sana.

“PGA7 akan terus bekerjasama dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia dalam memastikan kawalan di pintu sempadan Malaysia-Thailand berada pada tahap yang tinggi.

“Pada masa sama, amalan integriti sentiasa diterapkan kepada pegawai dan anggota bagi memastikan impian untuk membanteras penyeludupan dan jenayah rentas sempadan ini,” katanya.

Beliau berkata justeru itu, selaras dengan kehendak pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia, PGA7 tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sekiranya terdapat pegawai atau anggota yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa ataupun gejala rasuah.

— BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker