Tindakan Anwar Tidak Beri Kebaikan Kepada Rakyat, Negara – Reezal

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata usaha Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengambil alih kerajaan pada ketika negara berhadapan dengan peningkatan kes pandemik COVID-19 tidak akan memberikan sebarang kebaikan kepada negara dan ekonomi sebaliknya menjadikan rakyat semakin menderita.

Katanya, dengan penafian dari ahli-ahli Parlimen UMNO yang dikaitkan dengannya dan walaupun Ketua Pembangkang itu mempunyai jumlah bilangan yang mencukupi sebagaimana didakwa, ia tidak akan membawa kepada perubahan kerajaan dalam sekelip mata kerana memerlukan beberapa proses.

“Saya melihat bahawa kalau pun ada ‘numbers’ esok (hari ini), ia tidak akan membawa kepada perubahan kerajaan dalam sekelip mata… ia memerlukan proses-proses yang lain.

“Cumanya yang saya khuatir dalam tempoh-tempoh sebegini ia tidak memberi kebaikan kepada negara dan ekonomi, akhirnya yang menderita adalah rakyat.

“Seolah-olah kita hantar isyarat kepada negara luar bahawa kita berada dalam keadaan tidak stabil dan penuh tidak ketentuan,” kata Menteri Belia dan Sukan itu dalam satu wawancara bersama Sinar Harian, mengulas mengenai tindakan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson yang mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, beliau mempunyai keyakinan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat sokongan yang kuat untuk menerajui negara.

“Bukan kerana saya menteri dalam Kabinet beliau, tidak. Tapi saya melihat kepada apa yang telah beliau lakukan dalam tempoh enam tujuh bulan ini… bukan mudah bagi beliau (Muhyiddin) kerana beliau menerajui parti yang mempunyai kemelut yang cukup teruk.

“Apabila berlaku pemecatan pemimpin peneraju awal dalam parti beliau (Bersatu) tapi dalam mentadbir negara, beliau telah berjaya melaksanakan pelbagai perkara yang boleh membantu membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi kesan daripada COVID-19,” katanya.

Namun ujarnya lagi, usaha tersebut tidak akan berjaya jika ada pihak yang menggangu-gugat kelancaran pentadbiran negara.

“Sebab itulah buat waktu ini kalau ada sesiapa yang menyumbang kepada berlakunya ketidaktentuan dan akhirnya negara berada dalam keadaan jauh terkesan teruk dari sudut ekonomi.

“Saya fikir rakyat tidak akan memaafkan sebab rakyat nak ahli politik fokus dan bawa Malaysia keluar dahulu daripada apa yang sedang dihadapi sekarang,” tegasnya. – UMNO ONLINE

MAHATHIR DAN ANWAR BERKONGSI SIFAT SAMA ‘GILA KUASA’

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker