Harimau Malaya asah taring di Asia Barat

Kuala Lumpur: Wilayah Asia barat kemungkinan bakal dijadikan lokasi latihan pusat skuad Harimau Malaya disamping beberapa aksi persahabatan antarabangsa dilangsungkan Disember ini.

Pengurus pasukan, Datuk Yusoff Mahadi berkata, latihan dan aksi persahabatan itu amat perlu diadakan selepas kali terakhir skuad kendalian Tan Cheng Hoe dikumpulkan bersama setahun lalu ketika aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 November tahun lalu.

Jelasnya, berdasarkan perbincangan awal bersama barisan kejurulatihan, cadangan latihan pusat itu harus dijalankan bagi memudahkan penilaian di buat oleh Cheng Hoe menjelang tugas lebih mencabar pada tahun depan termasuk mengharungi baki aksi kelayakan Piala Dunia pada Mac nanti serta Piala AFF yang dijadual pertengahan April.

“Kita bercadang untuk memanggil latihan pusat pada Disember ini dan cuba mengatur beberapa aksi persahabatan bersama pasukan luar negara.



“Apapun, ia bergantung kepada situasi semasa kerana kita masih lagi berada dalam suasana Covid-19 yang banyak memberi kesan kepada pasukan kita.

“Jika keadaan mengizinkan dan mendapat kebenaran kerajaan untuk keluar, saya fikir kita kena cari negara yang tidak terjejas teruk dengan masalah Covid-19 ini.

“Mungkin negara Asia Barat seperti Qatar pilihan terbaik. Lagipun banyak perlawanan antarabangsa diadakan di sana termasuk aksi membabitkan Uzbekistan baru-baru ini.

“Malah, saingan ACL (Liga Juara-Juara Asia) juga akan dijalankan di sana dan saya fikir itu antara cadangan yang sesuai. Apapun kita tunggu dan lihat perkembangan Covid-19 serta kebenaran oleh pihak berwajib,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.



Aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sepatutnya berlangsung bulan ini dengan Malaysia bertandang ke Dubai untuk berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terpaksa ditunda ke tahun depan ekoran pandemik Covid-19.

Difahamkan, kempen kelayakan itu akan disambung Mac tahun depan dengan kemungkinan dilakukan secara karnival di Qatar.Anak buah Cheng Hoe yang kini menghuni tangga kedua Kumpulan G masih berbaki tiga aksi dengan menentang UAE, Vietnam dan Thailand.

Sekiranya skuad kebangsaan mampu mengekalkan kedudukan itu sehingga habis baki perlawanan, Malaysia berpeluang mara secara automatik ke Piala Asia selaku naib juara terbaik daripada lapan kumpulan serta layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia zon Asia.

“Kita kena cari pasukan luar untuk aksi persahabatan kerana pasukan liga tempatan semuanya berehat dan mungkin sedang mempersiapkan pasukan kerana kebanyakan pemain mungkin sudah habis kontrak.



“Jadi untuk main dengan pasukan tempatan susah sebab itu kita kena main dengan pasukan luar,” katanya.

UMNO berhak semak kedudukannya dalam PN – Annuar Musa

UMNO berhak semak kedudukannya dalam PN – Annuar Musa



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button