Lihat Dari Sudut Rasional… Demi Kepentingan Rakyat – Dr Najmil
KUALA LUMPUR, 14 Okt – “Tindakan UMNO mengumumkan untuk membuat pertimbangan menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) haruslah dilihat dari sudut yang lebih rasional bukan semata-mata ‘politiking’”, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris.
Katanya, ini membuktikan kepimpinan UMNO tidak tamak kuasa dan sedia bergerak sendiri jika kerajaan PN yang didominasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mampu bekerjasama dengan UMNO dalam konteks kepentingan rakyat.
“Kita tidak boleh menyalahkan UMNO secara melulu dan mengatakan keputusan ini adalah berdasarkan ketamakan kuasa atau kesombongan UMNO.
“Kerjasama UMNO dengan PN adalah rapuh dan tidak sekuat Muafakat Nasional (MN). Suara dan hasrat ahli UMNO yang setia juga perlu didengari kepimpinan di mana mereka tidak bersetuju dengan kerjasama UMNO dengan Bersatu,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Justeru kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu lagi, kerajaan PN bukan sahaja lemah dalam sokongan ahli Parlimen, malah lemah dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan.
“Jika kita hendak kekal sebagai sebuah gabungan, negara perlu ada hala tuju yang tepat supaya dapat meningkatkan keyakinan rakyat,” katanya.
Tambahnya, tidak dinafikan pandemik COVID-19 turut mempengaruhi prestasi kerajaan tetapi dapat ia tidak mempunyai hala tuju yang jelas seperti kerajaan Barisan Nasional (BN).
Kerajaan BN mempunyai pelbagai dasar strategik seperti Transformasi Nasional 50, Program Transformasi Ekonomi dan sebagainya yang jelas memberi manfaat hingga ke hari ini, tambah beliau lagi.
“Kita tidak boleh terlalu taksub dengan kerajaan ‘Abah’ ini. Banyak yang bercelaru serta tidak nampak hala tuju yang jelas.
“UMNO mestilah bersifat tegas dalam kerjasama politik ini kerana kita tidak mahu rakyat rugi di kemudian hari,” ujarnya.
Soalnya juga, apakah nilai perjuangan UMNO yang selama ini lantang membela nasib Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menentang Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), melawan Dong Zong dan sebagainya.
“Kini… semua itu seakan-akan dilupakan apabila menjadi kerajaan,” tegasnya lagi. – UMNO Online