Naikkan cukai pada firma kaut untung ketika pandemik – IMF

Logo Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di hadapan ibu pejabat badan dunia itu di Washington, Amerika Syarikat. - Foto AFP
Logo Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di hadapan ibu pejabat badan dunia itu di Washington, Amerika Syarikat. – Foto AFP

WASHINGTON: Kerajaan perlu menaikkan kadar cukai terhadap keluarga dan firma kaya serta mengelak perbelanjaan bagi melindungi budaya kerja lama.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dalam satu laporan pemantauan fiskal hari ini, menegaskan bahawa kerajaan perlu bijak menangani peningkatan permintaan menggunakan sumber sedia ada.

Ketika pelbagai negara bergelut dengan kemelut ekonomi akibat COVID-19, laporan itu turut menggesa penggubal dasar melabur pada projek yang mewujudkan pekerjaan seperti sektor infrastruktur dan tenaga hijau.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Fiskal IMF, Vitor Gaspar, dalam laporan yang dimuat naik di media sosial itu, berkata kerajaan di seluruh dunia menyuntik sekitar AS$12 trilion (RM49.8 trilion) pada ekonomi global sejak awal pandemik.

“Namun, sebahagian besar negara kini perlu melakukan lebih banyak dengan sumber yang terhad disebabkan kekangan belanjawan.

“Ketika pemulihan berterusan, penggubal dasar perlu lebih memilih dan mengelak daripada menghalang keperluan peralihan sektor kerja ketika kegiatan ekonomi kembali beroperasi,” katanya.

Tambah beliau, sokongan perlu berubah secara beransur daripada melindungi budaya kerja lama, kepada memastikan orang ramai kembali bekerja.

Antara lain, beliau mengesyorkan pengurangan langkah seperti subsidi upah dan mengutamakan latihan supaya orang ramai boleh mendapat pekerjaan baharu.

Kadar faedah yang rendah dapat memudahkan pinjaman dan melonjakkan pelaburan awam, dengan mengekal serta mempercepat projek, yang boleh mewujudkan pekerjaan baharu selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Langkah seperti pemotongan cukai secara rambang mungkin tidak berbaloi dari segi kos dan hanya memberi kesan terhad bagi menggalakkan pertumbuhan dan pekerjaan, kata laporan itu.

Alternatif lebih baik adalah untuk memacu pelaburan berasaskan lebih banyak peluang kerja seperti penyelenggaraan atau pembangunan infrastruktur awam.

Dengan hutang awam menghampiri 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di kebanyakan negara termasuk Amerika Syarikat (AS), kerajaan mungkin perlu memperkenal langkah meningkatkan pendapatan.

Antara lain, termasuk menaikkan tahap pematuhan cukai dan mengenakan kadar cukai progresif terhadap firma lebih berkemampuan, yang mungkin mengaut untung daripada pandemik ini, kata IMF.

“Pelaksanaan cukai pendapatan korporat untuk mengenakan kadar yang bersesuaian dengan keuntungan tinggi dalam ekonomi yang rancak berubah perlu dilaksana terhadap firma yang meraih keuntungan tinggi.

“Syarikat yang meraih keuntungan daripada krisis pandemik COVID-19 ini boleh membantu menyokong sektor yang memerlukan sumber kewangan,” katanya. – AFP

Tengku Razaleigh hantar usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin

Tengku Razaleigh hantar usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker