Kuartet 4x100m wanita mengganas di Singapura

Kuala Lumpur: Kuartet 4×100 meter wanita negara boleh dikatakan mendapat tonik berharga sebelum beraksi di temasya Sukan Sea Kemboja selepas mereka berjaya memenangi emas pada aksi final di Kejohanan Terbuka Singapura semalam(paper kelmarin).

Menerusi gandingan mantap Azreen Nabila Alias selaku pelari pertama diikuti Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Mohd Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling berjaya menghadirkan pingat emas buat mereka walaupun menerima tentangan sengit daripada wakil tuan rumah.

Kuartet Malaysia memenangi tempat pertama menerusi catatan masa 45.70 saat(s) mengatasi Singapura di kedudukan kedua (45.82s) manakala ketiga milik Thailand (46.06s).

Malah, larian ‘berdesup’ yang dipamerkan Nur Aishah sebagai pelari terakhir untuk memotong wakil tuan rumah pada saat akhir turut mendapat perhatian ramai sekali gus beranggapan dia mampu menggegarkan arena trek negara kelak.

Nur Aishah Rofina yang akan membuat penampilan pertama di temasya dwi tahunan itu berkata, kemenangan itu meniup semangatnya untuk mencipta kejayaan positif di Kemboja kelak.

“Terbuka Singapura antara platfrom terakhir untuk baiki larian dan meningkatkan lagi keupayaan sebelum beraksi di Sukan Sea Kemboja.

“Sudah tentu dengan kemenangan itu meniup semangat saya dan rakan untuk mencipta keputusan positif. Kalau boleh mahu membawa pulang pingat emas untuk negara dalam acara 4×100 meter.

“Persaingan sudah tentu lebih hebat di Sukan Sea Kemboja namun ada rezeki untuk Malaysia membawa pulang pingat,” kata atlet berusia 23 tahun itu.

Sebelum ini, catatan terbaik yang dicipta kuartet 4×100 m wanita itu adalah pada Kejohanan Terbuka Malaysia menerusi catatan 45.75 s.

 

 

Mengikut rekod, Terbuka Singapura adalah medan terakhir buat atlet olahraga negara untuk memperbaiki pencapaian masing-masing sebelum mereka berlepas ke Sukan Sea Kemboja yang akan membuka tirai 3 Mei ini.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker